Covid-19: Jangan ambil mudah kesan psikologi ke atas warga emas. Ini tindakan efektif yang diambil oleh anak-anak

A
A
A

Oleh Dr Nor Jannah Nasution Raduan

PADA tahun 2019, dianggarkan bahawa populasi Malaysia yang berumur lebih dari 65 tahun berjumlah 6.7 peratus.

Malaysia ketika ini ke arah peningkatan populasi warga emas apabila dijangkakan 10 peratus populasi Malaysia adalah dalam kalangan warga tua pada tahun 2030.

Golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas adalah antara kumpulan yang berisiko tinggi dalam jangkitan Covid-19 kerana kebanyakan mereka mempunyai penyakit kronik.

Ia sedikit sebanyak memberi impak besar dari segi psikologi dalam kalangan warga emas.

Kajian dan laporan rasmi menunjukkan, kadar kematian yang lebih tinggi dicatatkan golongan itu berbanding dengan individu yang lebih muda.

Keadaan itu menunjukkan mereka mempunyai risiko komplikasi dan kematian yang lebih tinggi jika dijangkiti jangkitan Covid-19.

Situasi itu sekali gus menimbulkan rasa gelisah dan takut dalam kalangan warga emas.

Berdasarkan statistik, setakat artikel ini ditulis, jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia sudah mencecah angka 479,421.

KESUNYIAN, TERASING

Penjarakan fizikal adalah salah satu langkah pencegahan Covid-19 yang penting dan harus dijalankan oleh setiap lapisan masyarakat terutamanya warga emas.

Pendekatan itu terbukti dapat membantu dalam memerangi pandemik Covid-19.

Namun demikian, penjarakan fizikal boleh menyebabkan kekurangan hubungan sosial terutamanya di luar rumah, di pusat komuniti atau tempat-tempat ibadah.

KESUNYIAN dan perasaan terasing dapat membawa kepada kemurungan dan kegelisahan.

Ia boleh menyebabkan perasaan kesunyian dan terasing.

Warga emas yang tidak mempunyai keluarga atau teman rapat dan bergantung pada sokongan perkhidmatan sukarela akan mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat masalah kesihatan mental.

Oleh itu, adalah penting untuk memahami pengalaman kegelisahan dan kemurungan dalam kumpulan tersebut akibat ketakutan dan kebimbangan lebih-lebih lagi laporan yang disiarkan di dada-dada media.

Dua perasaan itu (kegelisahan dan kemurungan) mempunyai banyak kesan buruk terhadap kesihatan.

Faktor risiko setiap warga emas mungkin berbeza-beza mengikut:

i) Tahap ketahanan.

ii) Pendidikan.

iii) Sokongan sosial dan lain-lain.

Walaupun majoriti warga emas dapat mengatasi isu psikologi sewaktu pandemik Covid-19, mereka yang lain mungkin mengalami pelbagai tahap kegelisahan, kemurungan dan panik.

Keadaan itu sekali gus boleh mengganggu fungsi dan kualiti hidup seharian.

TEKANAN dalam kalangan warga emas dapat menyebabkan gangguan emosi dan masalah fizikal.

Antara faktor paling signifikan yang mempengaruhi kesihatan mental warga emas adalah seperti berikut:

a. Mempunyai masalah kesihatan psikologi atau sejarah masalah kesihatan psikologi.

b. Mempunyai pelbagai kesihatan fizikal,kesakitan atau ketidakupayaan.

c. Pengasingan sosial, kesepian atau rasa terputus daripada jaringan sosial seperti keluarga terdekat dan rakan-rakan.

d. Kehilangan keluarga atau rakan-rakan akibat Covid-19.

e. Gangguan dalam rutin harian seperti tidur, makan dan hilang rasa tujuan.

Selain itu, tekanan boleh menyebabkan beberapa perkara seperti:

a. Perubahan emosi seperti perasaan takut, marah, sedih, bimbang atau kecewa.

b. Perubahan selera makan, tenaga, keinginan dan minat.

c. Kesukaran menumpukan perhatian dan membuat keputusan.

d. Kesukaran tidur atau mimpi buruk.

e. Reaksi fizikal seperti sakit kepala, sakit badan, masalah perut dan ruam pada kulit.

d. Memburukkan lagi masalah kesihatan kronik dan keadaan kesihatan mental.

e. Peningkatan penggunaan tembakau, alkohol dan bahan terlarang yang lain.

Antara langkah-langkah sihat untuk mengatasi tekanan yang boleh diambil oleh warga emas termasuk:

1. Beristirehat daripada menonton, membaca atau mendengar berita tentang Covid-19 termasuk yang disiarkan melalui media sosial.

• Hadkan mendengar atau membaca berita hanya beberapa kali sehari.

• Tetapkan masa dalam sehari untuk tidak berhubung dengan skrin telefon, televisyen dan komputer untuk beberapa jam supaya dapat melakukan aktiviti fizikal.

2. Jaga badan.

• Tarik nafas dalam-dalam dan regangkan otot.

• Cuba makan makanan yang sihat dan seimbang.

• Bersenam secara berkala di dalam atau di sekitar rumah.

• Dapatkan tidur secukupnya.

• Elak penggunaan alkohol dan tembakau yang berlebihan.

• Teruskan dengan langkah pencegahan rutin seperti vaksinasi, pemeriksaan kanser dan lain-lain

• Dapatkan vaksin Covid-19 apabila ada.

3. Jalankan aktiviti keagamaan dan spiritual yang biasa dilakukan sebelum pandemik ini terjadi.

• Banyakkan refleksi atau muhasabah tentang makna dan tujuan dalam hidup serta perkara-perkara yang membuatkan kita bersyukur dengan rahmat daripada Tuhan.

4. Luangkan masa untuk berehat.

• Cuba lakukan beberapa aktiviti lain yang digemari seperti menjahit, melukis, mewarna, bercucuk tanam dan sebagainya.

5. Berhubung dengan orang lain.

• Bercakap dengan rakan-rakan dan keluarga terdekat melalui telefon atau dalam talian.

6. Berhubung dengan komuniti atau organisasi yang berasaskan agama dan kepercayaan masing-masing.

• Semasa menjalankan penjarakan fizikal atau kuarantin, cuba sambungkan silaturahim melalui cara dalam talian, media sosial atau melalui telefon atau e-mel.

MENJALANKAN rutin harian dirumah seperti aktiviti spiritual dan keagamaan dapat membantu kurangkan tekanan dikalangan warga emas sewaktu pandemik.

Pada masa sama, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh keluarga terdekat untuk memberi sokongan kepada warga emas di dalam keluarga mereka iaitu:

1. Jaga diri.

• Jika anda duduk serumah dengan warga emas, lakukan semua langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan diri daripada dijangkiti.

• Sekiranya memasak, mengendalikan atau merawat emas, SANGAT PENTING untuk mengambil semua langkah berjaga-jaga agar tidak menyebarkan jangkitan kepada warga emas yang dijaga.

2. Sentiasa berhubung dengan rakan, jiran dan ahli keluarga yang terdiri daripada kumpulan warga emas.

• Panggil atau sembang melalui kemudahan video dengan mereka. Pesanan teks dan media sosial mungkin bukan kaedah terbaik untuk berhubung.

• Tanyakan apa yang mereka lakukan dalam jangka waktu ini, bagaimana rutin harian mereka jika ada perubahan yang menimbulkan tekanan dan cara mereka mengatasi tekanan tersebut.

• Beri ruang untuk mereka meluahkan perasaan.

3. Ajar cara menggunakan teknologi untuk berhubung.

• Tunjukkan kepada mereka cara berbual video dengan orang lain menggunakan telefon pintar, komputer riba atau tablet.

• Gunakan aplikasi pada peranti itu untuk memberikan keterangan untuk warga emas yang menghadapi masalah pendengaran.

• Galakkan rakan dan keluarga anda untuk menelefon, menulis nota atau menghantar kad dan cenderahati untuk menaikkan semangat orang yang anda sayangi.

BERHUBUNG melalui alam maya dapat membuat warga emas rasa dikasihi dan dihargai.

4. Libatkan warga emas dalam membuat keputusan.

• Dapatkan nasihat daripada mereka berdasarkan pengalaman dan kebijaksanaan mereka.

• Ucapkan rasa terima kasih dan penghargaan atas sokongan yang anda dapat daripada hubungan anda dengan mereka.

• Biarkan mereka tahu apa yang anda kagumi mengenai cara mereka menjalani kehidupan mereka.

• Biarkan mereka tahu betapa bersyukurnya dengan kehadiran mereka dalam hidup anda.

5. Bincangkan tentang rutin harian mereka.

• Rutinkan aktiviti harian mereka di rumah.

• Mempunyai rancangan dengan adik beradik lain untuk bergilir-gilir untuk mengadakan panggilan video dengan mereka.

• Galakkan mereka untuk terus melakukan aktiviti yang dibenarkan semasa Covid-19 untuk kawasan setempat dan yang mereka anggap sebagai paling bermanfaat seperti bercucuk tanam, kelas al-Quran online dan sebagainya.

• Amalkan amalan ibadah yang menguatkan rohani, meditasi atau doa peribadi.

• Mendengar atau bermain muzik, membaca, menikmati persembahan, teka-teki, permainan atau aktiviti sosial kegemaran dalam talian.

Selain itu, langkah yang boleh diambil jika warga emas atau keluarga mendapati gejala seperti kesedihan, kegelisahan dan kebimbangan yang berlebihan berlaku boleh menghubungi talian sokongan psikososial 03-29359935 (Covid-19 Kementerian Kesihatan Malaysia Mercy) atau 03-76272929 (Befrienders).

Sebagai kesimpulannya, pastikan anak-anak selalu berkomunikasi dengan ibu bapa di rumah dan menyatakan sokongan anda kepada mereka.

Caranya, beritahu mereka bahawa kita ada untuk membantu.

Pastikan ibu bapa tahu bahawa kita bersyukur mereka adalah sebahagian daripada hidup anda.

Artikel berkaitan: Awas! Varian baharu merebak lebih cepat, terus kekal di rumah

Bukan itu sahaja, paling penting adalah kita semua saling menjaga satu sama lain sewaktu pandemik walaupun melalui telefon atau komunikasi secara maya. #kitajagakita

DR Nor Jannah Nasution Raduan merupakan Pakar Psikiatri Geriatrik (fellow in-training), UiTM Private Specialist Center.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca