Covid-19 : Jangan kunjungi bekas pesakit ketika berhari raya

Covid-19 : Jangan kunjungi bekas pesakit ketika berhari raya
Covid-19 : Jangan kunjungi bekas pesakit ketika berhari raya
A
A
A

TIDAK lama lagi umat Islam akan menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka akan disambut pada Ahad ini.

Namun, orang ramai yang mempunyai kenalan dengan bekas pesakit Covid-19 perlu memberi ruang kepada mereka untuk menjalani kuarantin selama 14 hari demi menjamin keselamatan Bersama.

Ia susulan saranan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kepada pesakit Covid-19 yang sudah discaj dari hospital tidak digalakkan menerima pelawat ketika menjalani kuarantin di rumah.

Setakat ini jumlah kes positif secara keseluruhan adalah 6,941 dan daripada jumlah itu sebanyak 5,615 kes telah sembuh dan discaj dari wad atau bersamaan dengan 80.9 peratus.

Tambahan pula sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan pada 4 Mei lalu, kes positif Covid-19 secara harian mencatatkan pada paras dua angka, justeru bagi mengekalkan trend tersebut Dr Noor Hisham menyeru masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Dalam pada itu, masyarakat juga disaran menyambut Aidilfitri pada kali ini secara luar daripada kelaziman iaitu termasuk tiada amalan menziarahi kubur pada musim perayaan ini, tiada rumah terbuka kerana virus maut itu masih 'berlegar' dalam komuniti.

Tinjauan Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga mendapati 74 peratus masyarakat hanya mahu beraya dengan ahli keluarga di rumah, tanpa perlu menerima tetamu daripada anggota keluarga lain mahupun jiran dan perkembangan itu disambut baik Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu, bagi melindungi kanak-kanak dan warga emas daripada jangkitan virus tersebut, KKM akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bagi mempertimbangkan pelaksanaan larangan membawa golongan tersebut ke tempat awam seperti pusat beli-belah.

Ismail Sabri juga mengingatkan masyarakat yang berkunjung ke premis perniagaan supaya menulis nama dan juga nombor telefon sebenar dan bukannya nama samaran seperti Badang, Superman dan Batman kerana ini akan dapat menyelamatkan mereka kelak untuk dihubungi sekiranya disyaki dijangkiti pandemik maut itu.

Kerajaan meletakkan beberapa arahan untuk dipatuhi demi menjaga keselamatan semua, jadi sebagai rakyat prihatin, usahlah kita membebani tugas petugas hadapan dengan peningkatan kes positif akibat daripada sikap pentingkan diri dengan melanggar SOP yang ditetapkan.

Jadi, tak salah nak menyambut perayaan hari raya, cuma anda perlu patuh pada SOP yang telah ditetapkan dan jangan sesekali membelakangkan arahan pihak berwajib.

Ingat, virus ini kini berada di mana-mana sahaja dan anda tidak mampu untuk melihatnya dengan pandangan mata kasar.

SinarPlus percaya andai kata anda mampu melihat sendiri virus yang setia menanti mangsa untuk membunuh ini, anda juga pasti tidak akan berani kemana-mana. #juststayathome

Patuhi SOP!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca