AWAL pandemik lalu, ada yang menyangka kanak-kanak tidak terkena jangkitan Covid-19 kerana bilangan kes dalam kalangan mereka adalah kecil dibandingkan dengan orang dewasa dan orang tua.

Ada yang mengatakan kanak-kanak ada daya tahan tersendiri terhadap jangkitan coronavirus terbaru ini apabila melihat jarang sekali kanak-kanak dibawa ke klinik untuk gejala penyakit Covid-19.

Tulis Pensyarah Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Safiya Amaran di Facebooknya, menurut pakar dalam bidang jangkitan dan imuniti pediatrik, Universiti Oxford, Profesor Dr Andrew Pollard, apa yang berbeza untuk kanak-kanak ialah gejala yang mereka alami adalah jauh lebih ringan berbanding orang dewasa dan orang tua.

Dr Safiya.

Kebanyakan kanak-kanak cuma alami demam, batuk, hidung tersumbat, selesema dan sakit tekak. Malah, kelihatan sama sahaja seperti jangkitan kuman yang lain.

Persoalannya, kenapa kanak-kanak kurang mengalami komplikasi Covid-19?

“Hmm.. memang ada kanak-kanak yang alami komplikasi akibat Covid-19 tetapi tidak ramai, sikit sangat. Menurut kajian oleh Sinha et al. (2020), ada beberapa penjelasan yang boleh diberikan berkenaan keadaan ini,” tulis Dr Safiya.

Menurutnya penjelasan pertama, SARS-CoV-2 perlukan protein di permukaan luar sel saluran pernafasan untuk ia masuk ke dalam sel badan. Protein itu namanya Angiotensin Converting Enzyme II (ACE-2) receptor.

Bagi kanak-kanak, bilangan protein berkenaan ada sikit sahaja di bahagian paru-paru, sebaliknya lebih banyak di bahagian rongga pernafasan atas, iaitu mulut dan hidung.

Itu mungkin sebab kenapa gejala Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak adalah lebih kepada demam, batuk, selesema dan sakit tekak. Dalam kalangan dewasa dan orang tua pula lebih kepada jangkitan kuman paru-paru dan sindrom akut kegagalan pernafasan.

Kedua, kanak-kanak di taska, tadika atau sekolah sudah biasa terdedah kepada jangkitan kuman di saluran pernafasan. Mereka mungkin sudah terdedah kepada jangkitan empat jenis koronavirus yang lain seperti 229E (alpha coronavirus), NL63 (alpha coronavirus), OC43 (beta coronavirus) dan HKU1 (beta coronavirus).

“Empat jenis koronavirus ni tidak bahaya dan memang biasa menjangkiti manusia selama ini dan tidak menyebabkan jangkitan yang teruk,” tulisnya lagi.

Pendedahan dengan keluarga coronavirus yang lain mungkin menyebabkan daya imunisasi kanak-kanak terhadap jangkitan SARS-CoV-2 adalah lebih tinggi berbanding dengan golongan dewasa dan warga emas.

Ketiga, akibat cytokine storm.

Iklan

“Cytokine storm ni adalah satu tindak balas dari sistem imunisasi badan kita untuk melawan SARS-CoV-2. Tapi, dalam usaha untuk menyerang SARS-CoV-2, cytokine storm ini juga boleh menyerang badan sendiri dan mengakibatkan kerosakan organ yang terlibat.

“Kalau bandingkan dengan orang dewasa, sistem imunisasi kanak-kanak tidak berapa matang dan mungkin di atas sebab itu, mereka belum mampu untuk hasilkan cytokine storm bagi melawan SARS-CoV-2,”.

Jadi inilah tiga sebab kenapa gejala untuk kanak-kanak jauh lebih ringan berbanding orang dewasa.

Persoalan yang bermain di fikiran ramai orang, ‘bolehkah kanak-kanak menjangkiti orang lain?’

Kajian menunjukkan walaupun kanak-kanak tidak mengalami apa-apa gejala atau cuma mempunyai gejala ringan, mereka mampu menjangkiti orang lain di sekitar mereka, sama seperti orang yang mempunyai gejala yang teruk.

Iklan

“Apabila mereka tidak bergejala, itu membolehkan penyakit ini boleh tersebar dengan cepat. Tanpa disedari, kanak-kanak berpotensi menjadi penyebar senyap yang merbahaya dalam komuniti kerana orang tidak menyangka mereka sebenarnya pembawa virus SARS-CoV-2,” kata Dr Safiya.

Oleh itu, ibu bapa janganlah membawa anak-anak ke tempat awam dan perlu elakkan percampuran bebas sesama kanak-kanak dan juga dengan orang tua.

“Lindungi kanak-kanak, lindungi orang tua. Inilah dua golongan yang perlu kita lindungi,” pesan Dr Safiya.

Kesimpulannya, golongan kanak-kanak pun berisiko untuk dapat penyakit Covid-19 seperti golongan dewasa tau…