KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan, pesakit Covid-19 tahap satu dan dua boleh menjalani rawatan serta kuarantin di rumah, dengan pemantauan ketat oleh petugas kesihatan berkuatkuasa 1 Januari lalu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Memetik laporan media tempatan, menurut Dr Adham Baba, pasukan khas telah diwujudkan di peringkat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), peringkat negeri dan daerah bagi memantau pesakit yang dirawat di rumah.

Bagaimanapun katanya, pesakit yang bergejala akan dirawat di hospital serta menjalani proses pemantauan seperti biasa.

“Tindakan ini dilaksanakan kerana kita perlu cepat untuk buat rawatan dan pengasingan terhadap kes positif.

“KKM akan terus buat pengesanan kontak bagi melandaikan lengkuk Covid-19,” katanya.

Pesakit tahap satu dan dua itu juga akan diberikan tempoh selama 10 hari untuk berada di rumah sebelum perlu menjalani ujian saringan pada hari terakhir.

Ujian saringan akan dibuat pada hari ke-10 di rumah masing-masing dan jika hasil ujian negatif, ini bermaksud mereka telah bebas daripada Covid-19 tanpa perlu pergi ke hospital.

KKM juga akan membuat penilaian keluasan rumah dan bilangan isi rumah yang ada sebelum membenarkan pesakit Covid-19 tahap satu dan dua terbabit menjalani rawatan di rumah masing-masing.

Pasukan penilai telah diwujudkan bagi meneliti kesiapsiagaan isi rumah serta keadaan rumah, kerana jika rumah kecil, pesakit akan dibawa ke hospital.

“Sekiranya fasiliti rumah mencukupi dan ada bilik untuk diasingkan, serta keluarga memahami isu kuarantin dan pengasingan, selain memahami prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KKM, mereka akan dirawat di rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada 4 Januari lalu dilaporkan berkata, KKM mempertimbangkan untuk mengasing dan mengkuarantin pesakit Covid-19 yang tidak bergejala dan bergejala ringan di rumah, memandangkan kemudahan kesihatan sedia ada semakin terhad, susulan peningkatan kes harian yang tinggi.

Iklan

Untuk hari ini sahaja Malaysia merekodkan kes harian Covid-19 tertinggi baharu iaitu sebanyak 3,309 kes dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia sebanyak 141,533 kes.

Hampir 78 peratus kes baharu dari negeri-negeri yang bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), didahului Selangor (1,007 kes), Johor (442 kes) dan Sabah (409 kes).

Iklan

Empat kematian Covid-19 dilaporkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat pandemik itu di Malaysia sebanyak 559 kes.