Covid-19: Patuhi SOP, ‘vaksin’ terbaik perangi wabak

October 16, 2020
Oleh Farah Eliani

UMUM mengetahui dan sedia maklum wabak Covid-19 kini sudah dikategorikan sebagai satu fenomena transnasional sehingga tiada satu negara yang terlibat dapat memeranginya secara sendiri.

SinarPlus yakin dan pasti, ia juga menjadi topik hangat yang dibincangkan dalam kalangan pakar perubatan dan orang awam termasuklah isu penciptaan vaksin bagi menghalang jangkitan pandemik berkenaan.

Rentetan itu, pelbagai pandangan yang diketengahkan yang datang daripada pelbagai pihak.

Namun demikian, pelbagai persoalan yang diajukan. Antaranya, bilakah vaksin efektif boleh dihasilkan? Sejauhmana keberkesanannya? Berapa lama masa diambil untuk diagihkan? Semuanya masih belum terjawab.

Bagaimanapun, orang ramai perlu sedar dan tahu bahawa vaksin tidak boleh dianggap sebagai penyembuh sepenuhnya kepada pandemik ini, tetapi hanya antara ikhtiar atau pelengkap memerangi penyakit tersebut.

Pun demikian, dalam perkiraan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat lebih 150 vaksin sedang pelbagai tahap pembangunan.

Iklan

Wakil WHO ke Malaysia, Singapura dan Brunei, Dr Ying-Ru Jacqueline Lo mengingatkan orang ramai agar tidak mengharapkan vaksin sehinggalah seawal pertengahan 2021.

Artikel berkaitan: Covid-19 : Pemilik darah O jika dijangkiti mungkin tidak kritikal – Kajian

Iklan

“Kami menjangkakan bila-bila masa pada akhir tahun hadapan, kita akan mendapat vaksin COVID-19 yang selamat dan berkesan. Namun, vaksin sahaja masih belum boleh menjaminnya.

“Vaksin itu perlulah dapat menampung jumlah yang kita perlukan," katanya.

Beliau memberitahu, sebarang vaksin yang dipersetujui oleh WHO di bawah kemudahan COVAX, inisiatif lebih daripada 172 negara untuk mendapat dan menyediakan vaksin yang berkesan kepada sekurang-kurangnya 20 peratus jumlah penduduk, perlu menjalani langkah lain sebelum dapat digunakan oleh khalayak ramai.

Oleh itu, SinarPlus ingin mengingatkan orang ramai, selagi belum ditemui, 'vaksin' terbaik adalah mengamalkan budaya baharu dalam masyarakat iaitu mematuhi prosedur operasi standard seperti penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan dengan sabun dan pemakaian pelitup muka.

Ingat, kes semakin meningkat di negara kita, ramai semakin takut dan bimbang apabila berada dalam fasa gelombang ketiga sekarang ini. Semoga ALLAH melindungi kita semua.

Sumber: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)