Covid-19: Rasai pengalaman melancong secara maya

Covid-19: Rasai pengalaman melancong secara maya
Covid-19: Rasai pengalaman melancong secara maya
A
A
A

LUAR biasa! Gara-gara pandemik Covid-19 yang memberi impak terhadap ekonomi global, Min House Camp yang terkenal dengan konsep ekopelancongan memperkenalkan pengalaman melancong secara maya yang pertama di Malaysia.

Pengarahnya, Nur Muhammad Muhamad Zanini berkata, langkah itu diambil dalam usaha mengurangkan impak Covid-19 terhadap perniagaannya berikutan pergerakan pelancong domestik dan antarabangsa yang terhad ketika ini.

"Pelancongan maya sebelum ini telah dilaksanakan di luar negara terutamanya oleh Airbnb yang terkenal sebagai ejen pelancongan antarabangsa.

"Konsep melancong secara maya dicadangkan dilaksanakan di negara ini semasa satu mesyuarat dalam talian bersama Malaysia Productivity Corporation dan Tourism Productivity Nexus yang menyelia industri pelancongan di Malaysia beberapa minggu lepas," katanya.

Mengulas lanjut, Nur Muhammad berkata, ketika mesyuarat dalam talian tersebut, terdapat 25 syarikat dalam industri pelancongan dan hiburan dalam negara berminat untuk mengembangkan konsep berkenaan namun hanya tujuh yang terpilih untuk melaksanakannya sebagai projek perintis.

"Pengalaman secara dalam talian ini bermula pada 25 Mei lepas menerusi industri hiburan apabila ada syarikat yang menganjurkan hiburan berbentuk muzik dalam talian dan Min House Camp merupakan syarikat keempat yang mencuba kaedah ini.

"Kami merupakan pemain industri pelancongan negara yang pertama menggunakan konsep ini sebagai alternatif bagi menjana pendapatan selepas terkesan dengan pandemik Covid-19," katanya.

Tambah Nur Muhammad lagi, banyak pemain industri yang berminat mencuba idea baharu ini namun terdapat kekangan terutama membabitkan talian jalur lebar terutama yang beroperasi di kawasan pedalaman.

Mengulas mengenai aktiviti pelancongan secara maya yang dianjurkan Min House Camp hari ini, beliau berkata seramai 28 peserta termasuk lima ejen pelancongan dan bakinya membabitkan pelancong dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan China menyertai sesi dalam talian tersebut.

"Pada program pertama ini, kami memperkenalkan empat aktiviti iaitu pertanian secara akuaponik, menghasilkan yoyo tradisional daripada buah beluru, pengenalan kepada taman dan galeri lebah kelulut serta mencari lokan yang terdapat di hutan baya pakau berhampiran Min House Camp.

"Setiap peserta pula dikenakan bayaran RM30 dan satu sesi berlangsung selama satu jam. Pada setiap sesi, peserta akan diberi penerangan secara terperinci mengenai aktiviti yang dilakukan serta boleh berkomunikasi dengan penyampai," katanya.

Katanya kaedah ini ternyata mempunyai pasaran lebih luas memandangkan pelancong hanya perlu menonton video secara langsung dalam talian menggunakan aplikasi Go To Meeting atau Zoom tanpa perlu keluar rumah sekali gus dapat mengelakkan mereka daripada dijangkiti Covid-19 selain bayaran yang dikenakan amat murah.

BERNAMA

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca