SEMALAM, heboh isu laporan polis terhadap Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham kerana tidak mahu berikan rawatan ivermectin kepada rakyat Malaysia.

Kata mereka, selepas laporan polis dibuat, barulah Kementerian Kesihatan (KKM) bertindak untuk laksanakan kajian.

Bukan itu sahaja, mereka juga memberi contoh negara luar seperti India yang sudah lama memberi rawatan ivermectin kepada rakyatnya dan ia didakwa berkesan.

Prihatin dengan situasi itu, Pakar Ortopedik Hospital Kemaman, Terengganu, Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed tampil bersama hujahnya.

Tulisnya di Facebook, beliau kongsikan maklumat-maklumat mengenai rawatan itu dengan orang ramai.

“Sebenarnya, KKM memang sedang membuat kajian mengenai keberkesanan ivermectin ke atas pesakit Covid-19 di Malaysia.

“Anda kena sabar. Kajian tersebut diluluskan oleh Jawatankuasa Etika KKM pada 25 Mei lalu dan ia lebih awal daripada laporan polis yang dibuat,” beritahu beliau.

Pada masa sama, ada juga ‘suara-suara’ yang mengatakan Dr Noor Hisham akan bertanggungjawab ke atas kematian rakyat Malaysia kerana ivermectin tidak diberi.

“Bagi saya, tidak boleh terus melulu seperti itu. Nanti jika berlaku komplikasi atau kematian akibat pemberian ivermectin secara terburu-buru tanpa kajian, siapa yang perlu disalahkan?,” katanya.

Terbaharu, ujar pakar itu, garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan India pada 27 Mei baru-baru ini telah mengarahkan rawatan Covid-19 yang menggunakan ivermectin, multivitamin dan zink DIHENTIKAN!

“Garis panduan tersebut juga menyuruh rakyat India yang tiada simptom untuk terus memakai pelitup muka, menjaga kebersihan tangan dan memastikan amalan penjarakkan fizikal dilakukan. Sama seperti yang KKM tekankan selama ini,” jelas Dr Mahyuddin.

Mengulas lanjut mengenai rawatan ivermectin, pakar itu menegaskan, sehingga kini, maklumat yang ada masih belum cukup untuk menggunakan sebagai rawatan kepada semua pesakit Covid-19.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat mencadangkan ivermectin hanya digunakan dalam kajian pesakit terlebih dahulu sehinggalah keberkesanannya dapat dibuktikan.

Selain itu, Kesatuan Eropah juga melarang ivermectin digunakan ke atas semua pesakit kerana kekurangan bukti saintifik keberkesannya, beritahu pakar berkenaan.

“Kita mahu rawatan yang berkesan dan selamat buat rakyat Malaysia.

“Bukannya main beri ubat secara terburu-buru. Sebab itu setiap vaksin yang masuk ke negara kita juga tetap perlu melalui proses di Agensi Peraturan Farmasi Nasional, KKM walaupun ia telah digunakan di luar negara sebelumnya,” tuturnya.

Kepada satu soalan, Dr Mahyuddin menjawab dengan penuh penegasan: “Kami juga sama seperti anda. Bezanya, anda perlu duduk di rumah dan menjaga prosedur operasi standard (SOP) manakala kami perlu memakai peralatan pelindung diri 8 jam sehari dan menghadapi risiko dijangkiti Covid-19 saban hari.”

Oleh itu, saran pakar tersebut, orang ramai tidak perlulah menjadi doktor atau jururawat untuk bantu mengalahkan Covid-19.

“Cuma, tolonglah jangan sebarkan pelbagai Whatsapp atau video yang tiada bukti keberkesanannya.

Baca juga: Tak perlu ‘lantik’ diri jadi doktor Google, serahkan kepada pakar yang bertanggungjawab

“Apa yang anda boleh lakukan, bantulah kami dengan sama-sama mempromosikan program vaksinasi dalam kalangan ahli keluarga, patuh SOP setiap hari dan di semua lokasi yang anda pergi. Itu pun sudah cukup bagi kami,” katanya.

ANEKDOT

APA itu ivermectin?

1. Ivermectin ialah ubat antiparasit yang diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat.

2. Lazimnya ubat itu digunakan untuk haiwan dan untuk merawat beberapa penyakit tropika seperti:
– Onchocerciasis.
– Strongyloidiasis.
– Helminthiases.

3. Sehingga kini, belum ada bukti yang betul-betul meyakinkan bagi mengesyorkan penggunaan ivermectin untuk merawat dan mencegah Covid-19.

4. Pertubuhan Kesihatan Sedunia setakat ini hanya mengesyorkan penggunaan ivermectin dalam ujian klinikal yang mana pesakit perlu dipantau rapi oleh doktor pakar dan penyelidik yang berpengalaman untuk menjamin keselamatan dan keberkesanannya.

Sumber: covid-19.moh.gov.my