NORMAL baharu yang kita terpaksa akur. Proses kemasukan pelajar ke universiti awam (UA) tahun ini bagi sesi 2020/2021 diteruskan seperti biasa, meskipun Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ditunda.

Namun, prosesnya sedikit berbeza seperti apa yang dilaporkan berlaku di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang mana seramai 1,723 pelajar baharu diploma mendaftar bagi sesi 2020/2021 melalui kaedah pandu lalu.

Naib Canselor Unisza Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, selepas proses pendaftaran selesai, keluarga hanya boleh menurunkan pelajar di blok kediaman dan tidak dibenarkan menghantar hingga ke bilik.

Antara prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi oleh pelajar dan ahli keluarga yang terlibat hadir semasa sesi pendaftaran adalah seperti berikut :

  1. Setiap penumpang kenderaan akan menjalani pemeriksaan suhu oleh pengawal keselamatan.
  2. Selesai pemeriksaan, terus bergerak ke dewan pendaftaran bagi membuat semakan surat tawaran dan penyerahan kunci bilik.
  3. Ahli keluarga tidak dibenarkan untuk masuk ke bilik.
  4. Proses pendaftaran pelajar juga dibuat secara berperingkat (penting semak tarikh dengan betul).
  5. Kakitangan pihak universiti juga perlu lengkap memakai pelitup muka dan sarung tangan ketika sesi pendaftaran dibuat.

Ahli keluarga tidak perlu risau kerana pihak universiti akan memastikan perlindungan terbaik dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengasingkan penuntut dari dua kawasan iaitu Kubang Pasu, Kedah dan Kuching, Sarawak.

Iklan

Berikutan peningkatan kes Covid-19 bagi dua negeri iaitu Kedah dan Sarawak, pihak universiti juga sedia maklum dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan menjalankan kuarantin wajib selama 14 hari kepada pelajar yang terlibat serta mereka ditempatkan di kediaman khas yang jauh daripada pelajar lain.

Iklan

Pelajar yang terlibat akan dipantau. Sekiranya bergejala, mereka akan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.