SEMALAM, ramai yang menzahirkan rasa sayu dengan tragedi yang berlaku. Tidak kurang hebatnya apabila banyak tanda pagar atau hashtag seperti #prayforBeirut dikongsi sebagai tanda sokongan kepada mereka di Lubnan.

Sehingga semalam, dilaporkan tragedi itu telah mengorbankan hampir 100 orang mangsa dan mencederakan ribuan yang lain.

Pada masa yang sama, Perdana Menterinya, Hassan Diab menyatakan, ia berpunca daripada 2,700 tan amonium nitrat yang disimpan berdekatan dengan pelabuhan bandar tersebut.

Lebih menyayat hati apabila video menunjukkan terdapat api yang marak disusuli dengan letupan seperti bom atom yang membentuk awan ‘mushroom’.

Bagaimanapun, Menteri Hal Ehwal Dalaman Lubnan, Mohammad Fahmi berkata, lokasi kejadian merupakan stor simpanan lebih 2,750 tan amonium nitrat yang merupakan hasil rampasan sebelum ini.

Sebenarnya apa itu ammonium nitrat?

Merujuk Facebook Public Health Malaysia, amonium nitrat dihasilkan dalam bentuk butir adalah baja paling banyak digunakan dunia.

Ia juga merupakan bahan utama di dalam proses letupan untuk menggali mineral yang mana bahan ini dicampur dengan minyak dan dihidupkan dengan cas letupan.

Kalau nak tahu, amonium nitrat tidak akan terbakar dengan sendiri malah, ia lebih adalah sumber oksigen yang akan mempercepatkan proses pembakaran bahan lain.

https://www.facebook.com/publichealthmalaysia/posts/2704499633173225

Oleh sebab itulah ia sangat berfungsi di dalam perlombongan yang mana kawasan yang kurang oksigen dengan adanya amonium nitrat akan menghasilkan oksigen untuk proses pembakaran minyak dan bahan bakar lain.

Tetapi… Pada suhu yang sangat tinggi, amonium nitrat akan terurai dan menjadi nitrogen oksida dan wap air dan gas berkenaan akan menyebabkan letupan.

Lebih membimbangkan, letupan amonium nitrat akan menghasilkan nitrogen dioksida, gas berwarna merah dan baunya sangat busuk. Bukan itu sahaja, ia dikhuatiri boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti masalah paru-paru.

Iklan

Pada masa yang sama, Pensyarah Kanan Kimia & Penyelidik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Fatimah Salim turut berkongsi pandangannya:

“Walaupun sehingga kini, punca sebenar kejadian tidak diketahui, namun letupan berkenaan mungkin disebabkan oleh fenomena yang dikenali sebagai deflagration-to-detonation transition yang melibatkan tindak balas pembakaran exothermic supersonic. Bahan kimia ammonium nitrate mungkin tercampur dengan bahan kimia lain yang mudah terbakar (oxidants) dan untuk tindak balas itu berlaku biasanya memerlukan ruang yang tertutup atau terkurung untuk menghasilkan tekanan luar biasa yang membenarkan ledakan berlaku.

“Letupan yang terhasil di Beirut telah menghasilkan gelombang seismik bersamaan dengan 4.5 skala Richter ketika berlaku gempa bumi. Ia dianggarkan bersamaan dengan tiga kilotan TNT yang mana bersamaan juga dengan satu perlima kekuatan letupan bom atom Hiroshima, Jepun yang berlaku semasa perang dunia ke-2 yang lalu,” tulisnya di Facebook beliau.

https://www.facebook.com/fatimah.salim.14/posts/3422453547788860

Iklan

Terdahulu, kejadian api marak berdekatan dengan amonium nitrat boleh menyebabkan letupan seperti yang juga berlaku di Tianjin, China pada tahun 2015 yang telah mengorbankan 175 orang di sebuah kilang amonium nitrat.

Kedutaan Amerika Syarikat di Beirut telah mengeluarkan amaran kepada penduduk setempat mengenai kemungkinan gas toksik yang terbebas hasil letupan berkenaan.

Keadaan di Beirut mengajar orang ramai untuk menyimpan baja dalam keadaan yang betul. Marilah kita doakan semoga Beirut kembali pulih daripada ujian yang telah melanda.

Foto: Reuters, Tim Wimborne.