PENGGUNAAN mesin layan diri memang bukan satu perkara asing dan mudah didapati seperti di pusat beli-belah sekolah, hospital atau bangunan pejabat.

Bagaimanapun, sebilangan mesin diselaraskan mengikut ketinggian individu dewasa yang tidak mengalami masalah pergerakan.

Situasi tersebut berbeza dengan mereka yang mengenakan kerusi roda mahupun Orang Kelainan Upaya (OKU).

Pastinya, dengan pergerakan yang terhad, hal tersebut pastinya sulit buat mereka untuk menggunakan mesin berkenaan.

Bagi mengatasi hal terbabit, ATLAS Vending bekerjasama dengan OKU Sentral melancarkan siri pertama Mesin Mudah Akses baru-baru ini.

Menurut Senator dan pengasas bersama OKU sentral, Datuk Ras Adiba Radzi, inovasi berkenaan adalah salah satu contoh pembangunan cemerlang yang mana terdapat organisasi yang sedar dan memikirkan cara-cara terbaik supaya masyarakat OKU tidak ketinggalan dalam model perniagaan dan ciptaan mereka.

“Kira-kira 4.5 juta individu kurang upaya di Malaysia. Perubahan ini sekali gus mewujudkan kebebasan, integrasi sosial dan membolehkan golongan OKU untuk hidup berdikari dalam komuniti selain meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya yang melancarkan Mesin Mudah Akses di ibu kota baru-baru ini.

Peralatan berkenaan di bawah Projek Rintis Mesin Mudah Akses itu turut dilancarkan sempena Hari Kerusi Roda Antarabangsa 2022 dan mendapat sokongan KPJ Healthcare Berhad.

Iklan

Mesin layan diri direka khas tersebut memiliki ciri-ciri seperti bekas syiling yang lebih besar dan sistem pembayaran elektronik selain ditempatkan di hospital KPJ terpilih, Pusat Daya Klang, Selangor dan Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi, Selangor.

Terdahulu, ATLAS Vending telah bekerjasama dengan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dengan melancarkan 10 mesin layan diri Braille di beberapa stesen Transit Aliran Ringan (LRT) seperti Brickfields dan Lembah Klang.

Iklan

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram