AWAS! Mana-mana individu mencipta, menerbit atau menyebarkan berita tidak benar berhubung Covid-19 atau proklamasi daurat boleh berdepan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Bagi kesalahan yang berterusan pula, denda yang dikenakan tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Ini berikutan kerajaan telah mewartakan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No.2) 2021, yang berkuat kuasa esok, menurut Warta Kerajaan Persekutuan yang disiarkan oleh Jabatan Peguam Negara semalam.

Ordinan tersebut dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Ordinan

Menurut tafsiran Ordinan tersebut, ‘berita tidak benar’ termasukah apa-apa berita, maklumat, data dan laporan keseluruhan atau sebahagiannya palsu yang berhubungan dengan Covid-19 atau proklamasi darurat sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.

Ordinan itu menetapkan mana-mana individu dilarang keras melakukan beberapa perkara seperti :

  • Melakukan apa-apa cara dengan niat untuk menyebabkan atau berkemungkinan menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam.
  • Mengadakan, menawar, menerbit, mencetak, mengedar, mengeliling atau menyebarkan apa-apa berita tidak benar atau penerbitan tidak benar boleh diambil tindakan.
  • Menyediakan bantuan kewangan dengan niat supaya bantuan tersebut digunakan untuk melakukan atau memudahkan pelakuan kesalahan di bawah seksyen tersebut, melakukan suatu kesalahan.

Denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan maksimum enam tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah juga boleh memerintahkan orang yang disabitkan kesalahan di bawah subseksyen itu untuk membuat permohonan maaf kepada orang yang terjejas dan jika tidak mematuhi perintah, boleh disabitkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Mereka yang menerbitkan bahan mengandungi berita tidak benar untuk menghapuskan penerbitan itu dalam masa 24 jam dari masa arahan diberikan oleh seorang pegawai polis atau pegawai diberi kuasa.

Kegagalan berbuat demikan boleh dikenakan denda tidak melebihi  RM100,000 dan didenda selanjutnya tidak melebihi RM3,000 bagi tiap-tiap hari selama kesalahan berterusan selepas sabitan.

Iklan

Mana-mana orang yang terjejas oleh arahan penghapusan penerbitan oleh pegawai polis atau pegawai diberi kuasa boleh memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk menyemak arahan itu.

Di bawah penguatkuasaan, tiap-tiap kesalahan di bawah Ordinan ini adalah ‘kesalahan boleh tangkap’ dan seseorang pegawai polis atau pegawai diberi kuasa boleh menangkap mana-mana individu yang dipercayai dengan munasabah melakukan atau cuba melakukan kesalahan di bawah ordinan tersebut.

Polis atau pegawai juga diberi kuasa menjalankan penggeledahan, juga diberikan capaian kepada data berkomputer sama ada disimpan dalam satu komputer atau selainnya.

Iklan

Capaian itu termasuklah kata laluan, kod penyahsulitan, perisian atau perkakasan yang perlu.

“Mana-mana orang yang tidak mematuhi permintaan pegawai polis atau pegawai diberi kuasa, melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” menurut Ordinan itu.

Ia juga menyatakan tiada tindakan, guaman, pendakwaan atau apa-apa prosiding lain boleh diambil atau dibawa, dimulakan atau dikekalkan dalam mana-mana mahkamah terhadap kerajaan Malaysia atau mana-mana pegawai polis atau pegawai diberi kuasa berkenaan apa-apa perbuatan, pengabaian atau keingkaran yang dibuat atau ditinggalkan dengan suci hati dalam melaksanakan peruntukan ordinan ini.