Dilema suami malas, tak jatuh pun ego lelaki buat kerja rumah

A
A
A

SEBELUM berkahwin boleh dikatakan semuanya indah malah mungkin sesetengah sifat sebenar pasangan langsung tidak dijangkakan. Dilema wanita memiliki suami malas kesayangan ibu atau disebut ‘anak ketiak mak’ lamakelamaan menjadi barah menggugat kebahagiaan.

Pada masa kini, wanita bekerjaya itu menjadi kebiasaan. Menurut laporan firma penyelidikan pasaran, TA Securities, kadar penyertaan tenaga kerja (LFPR) wanita di Malaysia adalah 55.5 peratus pada 2021.

Pencapaian pendidikan memberangsangkan dan keperluan ekonomi keluarga menjadi salah satu faktor wanita masa kini keluar bekerja mencari rezeki.

Baca juga: Impi 105 cahaya mata, isteri jutawan akui sukar urus 22 anak, suami ditahan gubah wang haram

Gambar hiasan (Kredit foto: Freepik)

Rutin kerjaya 9.00 pagi hingga 5.00 petang menyebabkan mereka perlu berkongsi beban pengurusan rumah tangga dan anak-anak dengan suami.

Ada suami ringan tulang dengan rela hati membantu. Namun tidak kurang wujud segelintir yang merasakan tugas menguruskan rumah tangga terletak di bahu si isteri

Tidak hairan ramai wanita tertekan sehingga terpaksa berkorban meninggalkan kerjaya membesarkan anak-anak supaya suami berpuas hati.

Menurut Kaunselor & Perunding Mental Fitness Coach Shamzye Aims Counselling dan Certified Anger Management Specialist, Dr Norisham Abdul Ghani, wanita perlu tahu harus membezakan definisi malas.

“Wanita perlu tahu membezakan antara perbuatan malas dan tidak tahu melakukan sesuatu tugas. Kadang- kala tidak tahu melakukan tugas dipertanggungjawabkan menjadi punca pasangan meriba tangan.

"Memang kita tidak dapat mengubah orang lain. Kalau malas tahap biasa itu tidak mengapa. Tetapi jika berterusan,  ia akan menyebabkan pasangan menjadi sakit hati.

"Hati itu kita yang punya, jadi kita kena jaga hati kita dulu,” jelas beliau dalam program bual bicara Borak Bibir Merah yang bertajuk ‘Dasar Menantu Malas! yang disiarkan secara live melalui Facebook SinarPlus baru-baru ini.

Baca juga: ‘Wanita kena ada pendapatan sendiri tapi jangan bodoh semua nak sumbang.’ -Che Ta

Berhadapan dengan pasangan yang mempunyai sikap kurang menyenangkan ini, Dr Norisham menyarankan wanita melakukan empat perkara berikut:

1-Pada peringkat permulaan tetapkan tugas yang mudah dahulu. Sebagai contoh, mencuci pinggan mangkuk.

2-Fahami emosinya kerana orang yang gagal melaksana tugas bukan hanya disebabkan mereka pemalas tetapi fikiran berserabut seperti stres dan mood terganggu.

3-Jadikan tugas itu sebagai rutin pasangan. Sebagai contoh, berikan tugas membuang sampah kepada suami dan biar dia yang membereskan tugas tersebut walau apa pun terjadi.

4-Komunikasi yang baik sangat penting dalam menangani masalah ini kerana tanpanya tanggapan atau persepsi boleh terjadi dan seterusnya menimbulkan konflik.

BUAT KERJA RUMAH, EGO LELAKI TERCALAR?

Gambar hiasan (Kredit foto: Freepik)

Tidak dinafikan banyak pasangan yang memilih untuk tinggal bersama di rumah ibu bapa walau sudah berkahwin.

Biarpun ada banyak kelebihan tinggal serumah dengan orang tua, namun ia tetap mempunyai kontranya.

Antaranya ialah apabila ibu bapa yang telah berusia terpaksa memasak dan mencuci keperluan keluarga anak menantu.

Tidak kurang juga isteri seorang diri yang terpaksa menanggung beban tugas mengurus seisi rumah tanpa bantuan suami.

Hal ini menyebabkan derita dalam diam. Hendak mengadu kepada orang tua tentang anak mereka timbul rasa serba salah, bimbang dilabelkan sebagai mengadu atau mengeluh.

“Apabila kita tidak dapat meluahkan kepada mentua, luahkan ia kepada orang lain.

“Jangan simpan (pendam) kerana apabila simpan, merana badan.

"Hati sakit dan jiwa kacau,” nasihat Dr Norisham yang mengakui menantu perempuan tinggal bersama mentua berisiko menghadapi cabaran lebih besar berbanding menantu lelaki.

Baca juga: 'Arwah abah letak syarat kepada suami.'- tiada masalah tinggal serumah, Liza Hanim mahu praktik cara didikan ibu bapa

Gambar hiasan (Kredit foto: Freepik)

Sementelah, seiring peredaran masa dan budaya, rutin tradisi rumah tangga zaman dahulu yang banyak dibereskan oleh isteri telah berubah.

Justeru, dalam menghadapi situasi pasangan yang berat tulang membantu, Dr Norisham mengesyorkan beberapa langkah penyelesaian seperti berikut:

1-Ajak pasangan bersama-sama melakukan tugas menguruskan rumah dan kenal pasti punca mereka menjadi malas.

“Lelaki sebenarnya bergantung kepada cara mereka dibesarkan. Ajak dan atur satu persatu daripada tugas mudah kepada yang agak sukar,” katanya.

2-Isteri wajib tanya kepada diri, siapa yang sebenarnya mahukan rumah yang bersih dan teratur. Lakukan sendiri dan anda pasti akan mendapat kepuasan. Enjoy the process!

Rumah tangga mana yang tak diuji. Seperti menarik rambut di dalam tepung, setiap pasangan wajib menyelesaikan masalah dengan cara bijaksana tanpa merugikan mana-mana pihak.

Semoga dengan tip dan pandangan daripada pakar ini dapatlah wanita meleraikan kekusutan dan beban yang ditanggung sekali gus mengelakkan mahligai cinta dibina terus indah dan harmoni.

Bagi anda yang ingin mendapatkan kupasan lanjut boleh mengikuti siaran di Facebook (klik di sini) atau Youtube (klik di sini).

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTubeTiktok SinarPlus & Threads @sinarplus@threads.net. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca