PERSEKITARAN ekonomi yang tidak menentu ketika ini menuntut kita untuk berhemah dalam berbelanja. Pada masa sama, cuba untuk mengetepikan sedikit wang untuk pelaburan bagi membina tabung kecemasan.

Namun, dalam persekitaran yang agak mencabar ketika ini, antara masalah utama ialah memilih lokasi pelaburan terbaik untuk tunai di tangan yang semakin terhad jumlahnya.

Justeru, sebelum memilih lokasi pelaburan, satu perkara penting yang perlu kita tahu ialah kaitan antara risiko dan pulangan. Jika kita inginkan pulangan atau dividen tinggi daripada pelaburan, kita perlulah bersedia untuk menanggung kerugian yang lebih besar.

Sebagai contoh, pelaburan dalam mata wang kripto seperti Bitcoin mungkin kelihatan sangat menarik kerana desas-desus mengenai keuntungan yang pernah diperoleh pelabur. Hakikatnya, risiko sangat tinggi kerana tiada siapa tahu apakah asas sebenar pelaburan dalam Bitcoin.

Pada pertengahan Jun lalu, pelabur Bitcoin dilaporkan mengalami kerugian terbesar dalam sejarah mata wang kripto itu dengan rekod kerugian berjumlah RM32 bilion.

Ada juga yang memilih emas sebagai satu bentuk, namun hakikatnya emas ialah pelaburan berisiko sederhana yang mana nilai modalnya turun naik berdasarkan harga semasa emas di pasaran antarabangsa.

Malah, emas mempunyai susut nilai yang agak besar terutamanya emas hiasan. Selain dikenakan caj upah sebagai tambahan kepada harga emas, barang kemas yang dijual juga mengalami susut nilai kira-kira 25 peratus daripada harga semasa.

Ketika inflasi makanan terus meningkat akibat kenaikan harga barangan keperluan seperti minyak masak botol, ayam mentah dan telur, pengguna sewajarnya mengambil sikap berhati-hati apabila melabur dengan memilih pelaburan berisiko rendah untuk kelangsungan jangka panjang.

Dividen atau pulangan tidak sepatutnya menjadi kayu ukuran utama, sebaliknya modal yang terlindung daripada kerugian perlu menjadi faktor penting dalam memilih lokasi pelaburan. Antara yang terbaik pastinya deposit tetap bank dan pelaburan dalam unit amanah harga tetap seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Kedua-duanya melindungi modal pelabur daripada kerugian, cuma kelebihan ASB berbanding deposit tetap bank ialah ia mempunyai kecairan lebih tinggi. Ini bermakna pelabur boleh mengeluarkan wang pelaburan dalam ASB pada bila-bila masa memerlukan, namun wang yang berbaki dalam akaun masih berpeluang menerima dividen.

Berbeza dengan deposit tetap, sekiranya wang yang dilaburkan dikeluarkan sebelum tempoh matang pelabur mungkin tidak menerima sebarang dividen, malah ada bank yang mengenakan penalti kerana wang dikeluarkan sebelum waktunya.

Justeru, sekiranya tidak mempunyai lebihan tunai yang banyak, adalah lebih baik melabur secara konsisten dalam pelaburan seperti ASB untuk membina tabungan tanpa rasa terbeban.

Dengan pelaburan sebanyak RM50 sahaja setiap bulan, dalam tempoh tiga tahun pelabur boleh membina tabungan berjumlah RM1,900 sekiranya menerima pulangan purata empat peratus setahun dengan syarat modal dan dividen tidak dikeluarkan sepanjang tempoh itu.

Apabila melabur, tetapkan matlamat bahawa ia adalah untuk kecemasan semata-mata. Jangan sesekali mengeluarkan wang yang dilaburkan itu untuk sesuatu yang berbentuk kehendak.

Dalam membina tabungan, apa yang penting ialah konsistensi dan disiplin untuk menjadikannya sebagai amalan atau sebahagian daripada gaya hidup.

Sekiranya kad kredit boleh dibayar minimum lima peratus secara konsisten setiap bulan daripada jumlah hutang semata-mata untuk memastikannya kekal aktif, pastinya perkara yang sama boleh dilakukan untuk pelaburan.

Lebih menguntungkan berbanding membayar hutang, pelaburan disertai dengan ilmu dan dalam instrumen pelaburan yang betul akan membolehkah pengguna sentiasa mempunyai tabungan untuk kegunaan waktu memerlukan.

Berbanding hutang yang terus bertambah jumlahnya jika dibayar secara sedikit-sedikit, pelaburan yang dilakukan secara konsisten walaupun dalam jumlah yang kecil akan membolehkan pelabur mempunyai tabungan yang kukuh.

Dengan adanya tabungan sebagai sumber wang berterusan, tidak perlulah lagi menambah hutang setiap kali berlaku perkara luar dugaan atau berdepan kesukaran kewangan berpanjang jika berulang bencana seperti Covid-19.