VIRUS Covid-19 boleh menjangkiti sesiapa sahaja, termasuk insan tersayang. Sudah lebih setahun penduduk di seantero dunia berdepan dengan pandemik dan Malaysia tidak terkecuali.

Situasi hari ini virus jahat itu nampaknya semakin ‘beradaptasi’ dengan bermutasi mengikut keadaan semasa.

Terdapat lima kategori jangkitan Covid 19 iaitu tahap satu yang mana pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala.

Bagi kategori kedua pesakit akan menunjukkan gejala ringan tanpa radang paru-paru, sementelah kategori ketiga pula pesakit akan mengalami gejala dengan keradangan pada paru-paru.

Kategori keempat pesakit akan bergejala, mengalami radang paru-paru sehingga memerlukan bantuan oksigen. Tahap kritikal iaitu kategori kelima pesakit menunjukkan gejala teruk dan memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Jangkitan daripada ahli keluarga salah satu punca berlakunya penularan wabak tersebut. Menerusi perkongsian daripada Dr Hana Hadzarami dalam satu hantaran di laman sosial Facebook, sesungguhnya Covid-19 berada di mana-mana dan boleh menjangkiti sesiapa sahaja.

Menurut Dr Hana, di ICU yang merawat Covid-19, seorang pemuda berusia 36 tahun kritikal akibat Covid pneumonia kategori 5. Jangkitan daripada abang yang baru pulang dari India terus membuatkan kondisi kesihatan pesakit terbabit bertambah teruk dalam masa yang singkat.

 

“Dia mulanya hanya menjalani ujian swab kerana abangnya yang pulang dari India positif Covid-19. Selang beberapa hari beliau menjadi simptomatik, kategori tiga dan perlu dimasukkan ke wad.

“Tidak lama kemudian, beliau memerlukan oksigen hingga menjadi kategori empat. Hanya dalam masa lima hari daripada tarikh ujian calitan, beliau berubah menjadi kategori lima dan dimasukkan ke ICU,” tulis Dr Hana.

Lebih menyedihkan, pada hari sama pemuda berkenaan dimasukkan ke ICU, abangnya yang mendapat turut dirawat di ICU di sebuah hospital swasta pula menghembuskan nafas terakhir.

“Apabila pihak kami menghubungi keluarganya sebelum hendak memasukkan tiub pernafasan, mereka menangis kerana tidak mahu pesakit disambungkan ke mesin bantuan hayat.

“Ini disebabkan, abang pesakit tadi telah meninggal dunia selepas satu tempoh bernafas melalui ventilator. Jadi keluarga menyangka penggunaan ventilator penyebab kematian anak mereka,” kongsi pakar bius itu lanjut.

Iklan

Dr Hana juga mendedahkan pelbagai cara dan usaha dicadangkan keluarga pesakit berkenaan. Antaranya disuruh menggunakan ubat tertentu, memberikan bantuan oksigen begitu dan begini. Semunya untuk mengelakkan pihak hospital menggunakan ventilator.

“Pesakit semakin hypoxic (kurang oksigen). Dah pakai kanula oksigen berkelajuan tinggi (High Flow Nasal Cannula) berjam-jam, dah pusing kiri kanan telangkup semua tak berhasil. Tunggu lebih lama, boleh pengsan, berhenti bernafas dan terus ‘jalan’.

“Jadi keluarga terpaksa pasrah. Sama ada mati tanpa usaha atau cuba peluang terakhir.
Semalam beliau bernafas telangkup dibantu mesin ventilator. Buah pinggang dan jantung beliau mulai terkesan. Harap Tuhan mengasihani beliau,” cerita Dr Hana mengenai perkembangan terakhir pesakit itu.

Iklan

Selain itu, Dr Hana juga berkongsi bahawa Covid-19 kini lebih banyak mengorbankan pesakit muda berbanding sebelum ini.

Katanya pada minggu lepas di Johor, satu keluarga dijangkiti Covid-19. Dua anak lelaki berusia lingkungan 20-an meninggal dunia manakala kedua-dua ibu bapa mereka sedang bertarung nyawa di ICU.

Sesungguhnya jangkitan Covid-19 bukanlah perkara yang mustahil.

Dr Hana sempat menitipkan pesanan buat masyarakat: “Jangkitan Covid-19 bukan perkara lawak tuan puan. Mangsanya semakin muda. Proses jangkitan semakin cepat. Fasiliti perubatan semakin genting.

“Tak nampak tanda gelombang kali ini akan reda dalam masa terdekat. Semakin teruk adalah. Jaga diri semua.”

Diharapkan dengan perkongsian itu kita jadikan iktibar. Sentiasa berwaspada dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Sumber: Dr Hana Hadzarami