ADA antara kita yang kadangkala terlalu mudah mempercayai perkara-perkara yang ‘mistik’ sehinggakan obses dengan rawatan bukan moden.

Baru-baru ini, Pakar Kanak-kanak Hospital Pakar Kuala Terengganu, Dr Muhammad Salehuddin turut memberi pandangan mengenai isu berkenaan.

Katanya, pesakit-pesakit yang datang bertemu dengannya memang kebanyakannya menyangka sakit mereka disebabkan oleh makhluk halus.

“Ya.. Seperti virus, bakteria dan kulat,” tulisnya di Facebook.

Bagaimanapun, Dr Salehuddin menyifatkan ‘makhluk halus’ yang dimaksudkan adalah makhluk ALLAH yang semua orang tidak dapat melihat.

“Macam Covid-19 ni lah… Covid-19 merata-rata…”

Dalam masa yang sama, kongsinya lagi, satu lagi kelompok pesakitnya akan menyangka ia adalah disebabkan buatan orang.

“Selalunya, datang 8 ke 9 bulan selepas ‘dibuat oranglah’. Kalau tak faham lagi, tak tahulah.

“Rule utama saya adalah bukan mistik, sehingga proven otherwise.

“Maknanya, saya tak akan kata ‘ni kena jumpa ustaz atau bomoh’ sehingga saya pasti mereka datang bukan disebabkan penyakit yang ada punca fizikal,” luah Dr Salehuddin.

Kongsinya, sebagai contoh, kalau pesakit datang dengan sawan, dia akan periksa dan pastikan bukan disebabkan masalah di otak, demam sawan, jangkitan kuman atau masalah garam dalam tubuh.

Berkongsi pengalamannya, Dr Salehuddin bercerita beliau pernah merawat pesakit Orang Asli yang menaiki ambulans dari Mentakab ke Kuantan dan tidak pernah ada sejarah sawan sebelum ini.

“Sihat walafiat, tiba-tiba sawan. Ujian darah semuanya normal, scan otak pun normal.

“Kesimpulan yang pakar saya time tu buat, ‘this is some paranormal thing’,” tulisnya lagi.

Selain itu, Dr Salehuddin juga berkongsi pernah menerima satu kes bayi kecil, demam dan sawan.

“Masuk wad, dirawat sebagai meningitis (jangkitan kuman di selaput otak).

“Bila minta kebenaran untuk ambil air tulang belakang, si bapa terus minta discaj.

Iklan

“Lama saya pujuk supaya stay untuk di rawat sepenuhnya, tetap nak bawa balik juga.

“Nak ikhtiar cara kampung pula. Last-last, bawa balik juga.

“Selang sehari, bayi tersebut dibawa semula, tapi kali ni, dah tak bernyawa,” kongsi Dr Salehuddin.

Sebagai pengajarannya, Dr Salehuddin mengakui memang ada kes-kes mistik.

“Saya percaya, memang ada jin yang boleh mengganggu manusia, terutama kanak-kanak dan mereka lebih senang dapat gangguan apabila tubuh mereka lemah (demam dan kurang makan).

“Tapi, bilangannya sangat kecil. Contohnya, tahun ni, saya hanya jumpa satu kes saja. Kalau orang lain jumpa setiap hari, wallahuaklam lah,” tulisnya lagi.

Iklan

Oleh itu, jika anak sakit, bawalah jumpa terlebih doktor dulu. Nak berikhtiar secara tradisional tak salah, boleh buat seiring dengan rawatan moden.

“Tak ada pun saya kata kalau tengah dapat antibiotik, tak boleh minum air tawar atau air jampi.

“Nak minum, minumlah. Nak mandikan 7 kali sehari dengan air Yaasin pun, silakan.

“Jangan terus tolak tepi ikhtiar perubatan moden.

“Apa-apa pun, penyembuhan itu daripada Allah. Perubatan moden ke, tradisional ke, itu hanya ikhtiar kita,” tulisnya di akhir posting berkenaan.