PENINGKATAN kes Covid-19 di Malaysia kini sangat membimbangkan. Saban hari ribuan kes positif yang dicatatkan.

Banyak kes positif dikesan pada pesakit yang tidak menunjukkan simptom ketara. Malah terdapat juga kes yang berlaku secara sporadik di mana punca kes tersebut juga tidak diketahui.

Antara perkara yang kini menjadi tanda tanya ialah betulkah wabak ini tersebar melalui udara?

Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan virus SARS-CoV-2 merebak melalui titisan cecair dari hidung dan mulut individu yang dijangkiti apabila individu tersebut batuk, bersin, bercakap, menyanyi atau menghembuskan nafas.

Titisan cecair ini boleh jadi partikel yang besar (droplet) atau partikel yang kecil (aerosol). Seseorang boleh dijangkiti apabila menyedut droplet atau aerosol yang mengandungi virus.

Droplet adalah lebih berat dan biasanya akan jatuh dalam lingkungan jarak satu hingga dua meter.

Manakala aerosol boleh kekal di udara untuk tempoh yang lebih lama dan bergerak lebih jauh daripada satu hingga dua meter. Kebolehan partikel-partikel ini kekal di udara juga bergantung kepada faktor-faktor persekitaran seperti aliran udara dan kelembapan.

Apabila kepadatan virus dalam udara tinggi, jangkitan boleh berlaku kepada individu yang berada pada jarak lebih daripada dua meter dan kepada individu yang hanya merentas ruang tersebut.

Berinteraksi secara bersemuka pada jarak yang dekat, tempat tertutup yang sesak tanpa pengudaraan yang baik, aktiviti yang menambahkan hembusan titisan cecair dari seseorang yang dijangkiti seperti sembang kuat, menjerit, menyanyi, bernafas kuat akan menyebabkan virus lebih mudah merebak.

Seseorang juga boleh dijangkiti apabila menyentuh permukaan yang telah dicemari oleh titisan cecair yang mengandungi virus dan kemudian menyentuh mata, hidung atau mulut tanpa membersihkan tangan mereka, terlebih dahulu.

Menurut Dr Amalina Che Bakri melalui Twitter mengingatkan supaya orang ramai membuka tingkat agar penularan jangkitan Covid-19 dapat dikurangkan.

“Ingatlah untuk membuka tingkap anda. Biarkan udara segar masuk. Pengudaraan yang mencukupi mengurangkan sebilangan besar virus yang ada di udara. Ia membantu mengurangkan risiko penularan aerosol (ketika seseorang terhidu zarah-zarah kecil di udara setelah seseorang dengan virus itu berada di kawasan tertutup yang sama).,” tulis beliau di Twitter.

 

Ciapan pakar bedah kelahiran Malaysia ini turut disokong oleh Dr Jemilah Mahmood yang turut berkongsi perkara yang sama. Dr Jemilah menegaskan ventilasi yang baik diperlukan. Buka tingkap atau bekerja di luar kediaman sekiranya boleh untuk mendapatkan pengudaraan yang baik.

Iklan

Perkara ini juga turut dikongsikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski.

1.Buka pintu, gunakan kipas angin dan buka tingkap kereta untuk pengudaraan.

 

Iklan

2.Sekiranya berkongsi kereta, buka tingkap. Sekiranya pemandu tidak mahu bekerjasama, keluar dari kereta dengan sopan.

Korang bolehlah ikuti semua tips ini kalau bimbang kawasan rumah tiada pengudaraan yang baik. Amalkan langkah pencegahan dengan mengelakkan 3S – kawasan Sempit (tertutup), kawasan Sesak dan Sembang dekat. Sentiasa memakai pelitup muka sama ada di dalam atau luar bangunan, jaga penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan hand sanitizer.

Sumber: Twitter Dr Amalina & KKM