JIKA sebut fasal dron mesti ramai yang membayangkan tentang dron yang kebiasaannya diguna pakai bagi tujuan fotografi atau pun videografi. Betul tak?

Namun, hari ini dron banyak digunakan secara meluas bagi tujuan lain seperti mencari dan menyelamat, pengawasan, pemantauan trafik dan cuaca, bantuan memadamkan kebakaran, pertanian, peribadi dan penggambaran.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan menggunakan teknologi dron bagi memantau Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan sebagai usaha membendung wabak Covid-19.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata perkara tersebut telah dibincangkan dengan industri tempatan bagi meningkatkan jumlah alatan teknologi yang akan diguna pakai.

“Kami akan gunakan teknologi dron dan UAV. Perkara ini telah saya bincangkan dengan industri tempatan. ATM sudah ada (teknologi itu) tetapi jumlah perlu ditambah.

“Menerusi penggunaan teknologi, ia akan menambah baik (dari sudut) pemantauan. Kemungkinan (penggunaan dron dan UAV) dalam sehari dua ini, boleh kami gunakan,” katanya ketika ditemu bual RTM1 dalam program Selamat Pagi Malaysia semalam.

Penggunaan dron ini dianggap sebagai langkah bijak kerana dapat mengawal pergerakan terutama bagi mereka yang degil.

Mari kita rungkap bagaimana dron telah berevolusi dari kali pertama digunakan hingga sekarang.

SH: Sejarah Dron

Adakah anda tahu bahawa kali pertama catatan sejarah tentang dron, dron digunakan untuk mengebom sebuah bandar?

Dalam Perang Kemerdekaan Itali yang pertama, tentera Austria telah mengepung bandar Venice selepas warga Venice memberontak untuk membebaskan diri daripada kekuasaan Austria.

Iklan

Bala tentera Austria kemudiannya menyerang bandar Venice dengan menggunakan belon yang diikat dengan bahan letupan.

Sebahagian daripada belon-belon ini berjaya diletupkan di dalam bandar Venice, tetapi ada sebahagian yang ditiup kembali ke dalam kawasan angkatan Austria. Oleh sebab itu, taktik ini tidak diguna pakai lagi.

Pesawat tanpa pemandu yang pertama dicipta 16 tahun selepas penerbangan pertama oleh Wright Brothers. Dron itu digelar sebagai Ruston Proctor Aerial Target.

Ada beberapa prototaip yang telah dibina sepanjang Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua dan Perang Dingin.

Iklan

Dron kemudiannya berevolusi melalui kegunaan ketenteraan. Pada tahun 2006, Federal Aviation Administration Amerika Syarikat telah mengeluarkan permit bagi dron jenis komersial.

Kebanyakan tugas dron ketika itu berkait rapat dengan keselamatan dan ia hanya hak eksklusif untuk tentera tapi itu pun membabitkan dron penggempur yang dilengkapi misil dan peluru berpandu.

Bagaimanapun, seiring perubahan teknologi yang semakin pantas, dron digunakan hampir di semua sektor terutama bidang pertanian kerana ia pesawat pintar yang boleh melaksanakan tugas selepas diprogramkan menerusi komputer.