PADA 27 Mac lalu, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion.

Pakej tersebut adalah sebagai salah satu inisiatif untuk memperkukuhkan ekonomi akibat kesan daripada wabak Covid-19.

Menariknya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April akan datang, selain bantuan dari segi kewangan, kerajaan turut bersifat baik hati dengan menyediakan pakej internet secara percuma bernilai RM600 juta kepada semua pelanggan.

Faedah tersebut melibatkan semua pengguna talian mudah alih sama ada pasca bayar mahupun prabayar seperti Celcom, Digi, Umobile dan sebagainya. Data percuma 1GB yang ditawarkan boleh digunakan bermula jam 8 pagi hingga 6 petang setiap hari.

Inisiatif berkenaan juga akan memberi faedah kepada pekerja yang perlu bekerja di rumah dan para pelajar yang perlu ‘menghadiri’ kelas atas talian.

Tapi bagaimana ingin menebus data berkenaan?

1. Celcom dan Xpax – Tak perlu daftar dan automatik dapat

Pelanggan Celcom tidak perlu membuat sebarang penebusan kerana ia akan tersedia secara automatik di dalam akaun setiap hari.

Baki data yang tidak digunakan akan terhapus serta tidak boleh di bawa ke lain hari.
Penggunaan untuk hotspot juga dibenarkan untuk tawaran data percuma ini. Internet percuma hanya boleh digunakan untuk kegunaan domestik sahaja. Pelanggan boleh menyemak baki kuota data ini menerusi aplikasi Celcom Life atau mendail nombor di bawah :
• *118*1*1*2# untuk pengguna prabayar
• *118# untuk pengguna pascabayar

2. Digi – Sekali daftar dan automatik terima setiap hari

Pelanggan Digi perlu menebus data percuma ini. Pelanggan pascabayar boleh menebusnya di dalam aplikasi MyDigi di ruangan Rewards. Manakala pelanggan prabayar pula, menerusi ruangan “Box of Surprise” di dalam aplikasi MyDigi, atau menggunakan kod ringkas UMB di *128#.

Tebusan ini hanya perlu dibuat sekali sahaja dan 1GB akan diberikan setiap hari secara automatik. Baki yang tidak digunakan akan terus dibuang, tidak dibawa ke depan.

3. Maxis dan Hotlink – Kena tebus setiap hari

Penawaran data percuma ini tersedia untuk semua pelanggan pascabayar dan prabayar Maxis (kecuali pengguna MaxisONE).

Penebusan perlu dibuat setiap hari menerusi tiga aplikasi berbeza Maxis bergantung kepada talian mudah alih yang digunakan.
• Aplikasi MyMaxis – Klik “Get More Data” –> pilih “Free 1GB/ Day Pass” di bawah “Time Based Pass”
• Aplikasi MyMaxis Biz – Klik “Get More Data” –> pilih “Free 1GB/ Day Pass” di bawah “Time Based Pass”
• Aplikasi Hotlink RED – Klik banner utama –> pilih “Free 1GB/ Day Pass”. Anda juga boleh aktifkan data ini menerusi tab ‘Shop’.

4. Umobile – Sekali daftar dan automatik terima seterusnya

Data ini tersedia untuk semua perkhidmatan Internet. Pelanggan perlu memastikan talian adalah aktif untuk penggunaan data percuma ini.

Iklan

Untuk makluman, penebusan hanya perlu dilakukan sekali sahaja dan akan diterima secara automatik sehingga tempoh PKP tamat. Pengguna boleh menyemak baki kuota dengan mendail 1186# untuk prabayar atau 1187# untuk pascabayar.

Untuk penebusan, sila dail :
• *118*6*7# untuk pengguna prabayar
• *118*7*6# untuk pengguna pascabayar

5. Tunetalk – Sekali daftar dan automatik terima setiap hari

Data ini diaktifkan secara automatik selepas pengguna melakukan penebusan menerusi mesej. Ia hanya boleh digunakan setiap hari sepanjang tempoh PKP. Paling penting, para pelanggan perlu memastikan akaun mereka adalah aktif bagi menikmati penawaran percuma ini.

Untuk menebus, ikuti langkah mudah di bawah :
• Akaun perlu aktif (Tambah nilai & dapatkan kredit tambahan sebanyak 20 peratus)
• SMS STAYHOME dan hantar ke talian 2222
• Notifikasi akan dihantar untuk setiap pengaktifan yang berjaya.

Iklan

6. YooDo – Automatik terima, tiada had masa, baki bawa ke depan

Penawaran YooDo nampaknya tampil lebih menarik berbanding yang lain apabila pengguna data percuma ini boleh digunakan tanpa had iaitu bila-bila masa sahaja sepanjang hari.

Data percuma telah dikreditkan ke pelan anda bermula 30 Mac lalu sehingga 14 April dan pastikan talian anda adalah aktif. Menariknya, baki data yang tidak digunakan akan dibawa ke depan!

Menarik kan? Jom sama-sama kita bantu leraikan rantaian Covid-19.

Sumber: Laman web rasmi syarikat telekomunikasi Celcom, Digi, Maxis, Umobile, Tunetalk dan YooDo.