e-Dagang kian meningkat, pengguna selesa berbelanja dari rumah
VISA hari ini mengumumkan bahawa Malaysia telah mencapai mercu jaya baharu apabila pembayaran tanpa sentuhan adalah lebih 50 peratus daripada transaksi bersemuka menggunakan Visa.
Penggunaan kaedah itu kini dilihat menjadi pilihan pengguna dalam kategori penting seperti makanan dan barangan keperluan dapur, ‘fast food’, gedung serbaneka dan farmasi.
Rakyat Malaysia pada umumnya, mengambil berat mengenai kesihatan dan keselamatan diri mereka kerana data menunjukkan produk kategori kesihatan dan penjagaan diri menyaksikan lonjakan jualan tahun ke tahun meningkat.
Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon berkata, pandemik Covid-19 adalah penyebab penggunaan kini beralih kepada pembayaran digital terutamanya pembayaran tanpa sentuhan dan e-Dagang.
“Dalam tempoh beberapa tahun lepas, kami telah melihat pertumbuhan kukuh dalam pembayaran tanpa sentuhan ekoran usaha meningkatkan tahap penerimaan kaedah tanpa sentuhan di seluruh negara.“Pengguna juga kini berubah cara berbelanja dan semakin cenderung kepada pembelian digital.
“Peniaga juga seharusnya memberi tumpuan terhadap usaha mempermudahkan penerimaan pembayaran digital dan membina kedudukan digital dalam persekitaran yang sentiasa berubah ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Dengan menggunakan pembayaran digital, peniaga boleh memenuhi keperluan pengguna sambil meluaskan jualan digital ke peringkat antarabangsa.
“Dengan inisiatif seperti Beli Barangan Malaysia oleh Kerajaan dan kempen Where You Shop Matters (Di Mana Anda Membeli-Belah Adalah Penting) oleh Visa, para pemilik perniagaan boleh memanfaatkan platform dan sumber tersebut untuk meluaskan kedudukan dalam talian masing-masing dan mencapai pasaran sasaran mereka,” tambahnya lagi.
Secara keseluruhan perbelanjaan e-Dagang telah berkembang pada kadar pertumbuhan dua angka berbanding data yang direkod sebelumnya.
Bagi transaksi antara Januari sehingga Jun, untuk makanan dan barangan keperluan dapur telah meningkat tiga angka secara tahunan.
Sementara itu barangan runcit juga telah meningkat dengan ketara hampir tiga kali ganda berbanding setahun lepas.
Di samping itu, data Visa menunjukkan bahawa seorang daripada lima pemegang kad Visa aktif yang tidak pernah membeli dalam talian tahun lepas telah membuat pembelian pertama di dalam talian pada separuh pertama 2020.
Situasi itu telah mewujudkan norma baharu dalam kalangan masyarakat dan pengguna juga kini sedar dengan kepentingan baharu peranan e-dagang dalam kehidupan harian mereka.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang