Jangan silap! Ini hukum niat puasa sebulan di bulan Ramadan, Ustaz Azhar Idrus kongsi penjelasan

RAMADAN tiba lagi! Hari pertama puasa pastinya penuh semangat, tetapi jangan sampai terlepas satu perkara penting seperti niat puasa untuk hari berikutnya.
Tanpa niat, ibadah puasa boleh menjadi tidak sah, jadi penting untuk memahami hukum sebenar agar tidak tersilap.
Menerusi sebuah video yang kembali tular di TikTok, pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI), tampil menjelaskan hukum niat puasa sepanjang bulan Ramadan.
Menurut beliau, ada mazhab yang membenarkan niat sebulan sekali gus, dan ada juga yang mensyaratkan niat setiap malam.
Dalam penjelasannya, UAI menyebut bahawa, menurut Mazhab Maliki, seseorang boleh berniat puasa sekali sahaja bagi sebulan penuh kerana mereka menganggap puasa sepanjang 30 hari itu sebagai satu ibadah berterusan.
Namun, majoriti ulama dari Mazhab Syafi’i, Hanafi dan Hanbali berpandangan bahawa setiap hari puasa dikira sebagai ibadah yang berasingan.
Oleh sebab itu, walaupun niat sebulan dibolehkan, tetap wajib berniat setiap malam antara Maghrib hingga Subuh untuk memastikan ibadah lebih sempurna.
"Malam lain wajib juga untuk berniat, tapi kalau terlupa, puasa masih sah sebab dah niat sebulan. Itu kelebihannya," jelasnya sambil menekankan kepentingan berniat setiap malam agar tidak timbul sebarang keraguan dalam ibadah yang dilakukan.
Kesimpulannya, niat puasa sebulan dibolehkan tetapi bagi yang mengikut pandangan majoriti ulama, niat setiap malam sebelum Subuh tetap perlu dilakukan untuk lebih berhati-hati.
Jadi, jangan terlepas pandang perkara ini kerana ia boleh menjejaskan kesempurnaan ibadah puasa kita.
Semoga Ramadan kali ini membawa keberkatan buat semua dan ibadah yang dilakukan diterima oleh ALLAH SWT.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang