Kasih Fun Run 2025: YKN seru masyarakat prihatin kesihatan mental
KESEDARAN terhadap kesihatan mental semakin penting dalam era moden apabila semakin ramai individu di Malaysia berdepan tekanan hidup, keletihan emosi dan cabaran sosial yang menjejaskan kesejahteraan diri.
Menurut laporan semasa, peningkatan kes kemurungan, kebimbangan dan stres pasca pandemik menunjukkan bahawa isu kesihatan mental bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan. Ia bukan hanya melibatkan golongan dewasa, tetapi juga remaja, pelajar universiti, malah pekerja profesional di bandar besar.
Dalam mendepani situasi ini, pelbagai pihak tampil menggerakkan usaha kesedaran termasuk Yayasan Kebajikan Negara (YKN) melalui penganjuran program Kasih Fun Run 2025 – “Awak OK tak?”, yang akan berlangsung di Dataran DBKL, Kuala Lumpur pada Ahad ini.
Program ini diadakan bersempena Bulan Kaunseling Kebangsaan dan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025 yang disambut setiap 10 Oktober, bertujuan memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap kepentingan kesihatan mental dan kesejahteraan emosi.

Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Puan Nordina Haron, berkata kesihatan mental kini menjadi aspek penting dalam membentuk kesejahteraan individu dan masyarakat, dan perlu diberi perhatian sama seperti kesihatan fizikal.
“Menjaga kesihatan mental bukan sekadar mengelak tekanan, tetapi tentang bagaimana kita menyeimbangkan emosi, berhubung dengan orang lain dan membina daya tahan diri. Kasih Fun Run ini kami anjurkan sebagai simbol bahawa kesejahteraan diri bermula dengan langkah kecil dan memupuk kesedaran secara Santai,
Puan Nordina menambah, penganjuran program ini juga selaras dengan usaha memperkukuh sistem sokongan sosial dan psikososial melalui inisiatif seperti Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) YKN, yang menyediakan khidmat kaunseling berdaftar, bimbingan dan intervensi kepada mereka yang memerlukan.
Program Kasih Fun Run 2025 Yayasan Kebajikan Negara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), dengan Kerjasama Sinar Karangkraf Sdn Bhd, dan KL Car Free Morning, sebagai platform santai dan positif untuk menggalakkan masyarakat bergerak aktif sambil menyebarkan mesej kesihatan mental.
Larian sejauh 5 kilometer itu dijangka menarik lebih 1,000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk keluarga, pelajar dan kakitangan agensi kerajaan. Ia turut menawarkan pengalaman santai dengan suasana mesra komuniti di tengah-tengah ibu kota.
Mengulas lanjut, Puan Nordina menegaskan bahawa kesejahteraan mental berkait rapat dengan gaya hidup sihat. Aktiviti fizikal seperti berjalan atau berlari bukan sahaja baik untuk tubuh, malah membantu melepaskan hormon endorfin yang meningkatkan mood dan ketenangan.
“Kita mahu masyarakat memahami bahawa kesihatan mental bukan isu tabu, dan aktiviti ringan seperti Kasih Fun Run ini boleh menjadi permulaan kepada gaya hidup yang lebih seimbang,” jelasnya.
Beliau turut menyeru agar masyarakat bersama-sama memecahkan stigma dan membina komuniti yang saling menyokong, dengan menjadikan empati dan kasih sayang sebagai teras hubungan sosial.
“Kami percaya bahawa kesejahteraan emosi bermula di peringkat komuniti. Apabila kita saling peduli dan peka terhadap orang di sekeliling, kita sebenarnya sedang membina negara yang lebih sihat,” tambahnya.
Sempena Kasih Fun Run 2025, KPWKM juga akan melancarkan kempan Awak OK Tak? sebagai mengukuhkan lagi selain turut menyediakan pelbagai aktiviti sampingan seperti reruai khidmat kaunseling, dan reruai-reruai daripada agensi di bawah KPWKM termasuk Lembaga Penduduk dan Pemabgunan Keluarga Negara (LPPKN), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta promosi Talian Kasih 15999 bagi mereka yang memerlukan tempat untuk meluahkan dan mendapatkan bantuan profesional.
Selain itu, program ini juga menjadi platform untuk menggalakkan penyertaan sektor korporat dalam usaha sosial, selaras dengan komitmen YKN untuk menjalin kolaborasi strategik antara kerajaan, swasta dan komuniti.
“Kami amat menghargai sokongan semua rakan kolaborasi yang bersama YKN menjayakan program ini. Ia membuktikan bahawa kesejahteraan mental adalah tanggungjawab bersama, bukan hanya satu pihak,” ujar Puan Nordina.
Acara yang bermula pada jam 7.00 pagi itu diadakan dalam suasana KL Car Free Morning, menjadikan ia peluang terbaik untuk masyarakat keluar beriadah bersama keluarga, rakan-rakan dan komuniti dalam persekitaran sihat tanpa tekanan.
Mengakhiri kenyataannya, Puan Nordina menyeru masyarakat untuk terus prihatin dan tidak segan mendapatkan bantuan sekiranya berdepan tekanan atau emosi tidak stabil.
“Kasih Fun Run ini bukan sekadar larian, tetapi simbol kasih sayang dan solidariti. Ia satu panggilan untuk kita semua bertanya, mendengar dan membantu kerana semua orang berhak untuk rasa ‘OK’,” katanya .
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
