Semangat mula kerja lepas cuti panjang, pekerja bakal nikmati gaji minimum RM1,700 bermula esok!
KHABAR gembira buat pekerja di Malaysia!
Setelah 19 bulan sejak pelaksanaan gaji minimum RM1,500, kerajaan kini menetapkan kadar gaji asas baharu sebanyak RM1,700 sebulan.
Langkah itu akan memberi manfaat kepada 4.37 juta pekerja di seluruh negara bermula 1 Februari 2025, dengan matlamat meningkatkan kesejahteraan golongan pekerja.
Menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), perintah gaji minimum tersebut terpakai kepada majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih, serta majikan yang menjalankan aktiviti profesional tanpa mengira jumlah pekerja yang digajikan.
Bagi majikan dengan kurang daripada lima pekerja, perintah itu akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025 bagi memberi masa mencukupi untuk penyesuaian struktur gaji dan operasi syarikat.
Kegagalan mematuhi perintah berkenaan adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan denda mengikut peruntukan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).
KESUMA juga menegaskan bahawa gaji minimum tidak seharusnya dijadikan penanda aras untuk gaji permulaan semua pekerja, khususnya siswazah.
Sebaliknya, pekerja perlu menerima gaji yang setimpal dengan kemahiran dan pengalaman mereka.
Ada hak-hak lain yang pekerja perlu tahu untuk memastikan kehidupan bekerja anda lebih selesa dan terjamin. Berikut lima perkara penting yang anda perlu tahu:
1. Gaji minimum– Setiap pekerja berhak menerima gaji tidak kurang daripada RM1,700 sebulan, selaras dengan kadar yang ditetapkan kerajaan.
2. Waktu kerja dan rehat – Mengikut Akta Kerja 1955, waktu kerja biasa tidak boleh melebihi 45 jam seminggu. Pekerja juga berhak mendapat waktu rehat yang mencukupi serta hari rehat mingguan.
3. Cuti tahunan dan cuti sakit – Pekerja layak mendapat cuti tahunan berbayar serta cuti sakit dengan sijil perubatan. Jumlah cuti tahunan bergantung kepada tempoh perkhidmatan dengan majikan.
4. Keselamatan dan kesihatan di tempat kerja– Majikan bertanggungjawab memastikan tempat kerja selamat dan bebas daripada bahaya yang boleh menjejaskan kesihatan pekerja.
5. Perlindungan daripada penamatan tidak adil– Pekerja dilindungi daripada penamatan perkhidmatan yang tidak adil. Jika merasakan penamatan dilakukan secara tidak wajar, pekerja boleh membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja untuk tindakan lanjut.
Kenaikan sebanyak RM200 itu adalah peluang untuk pekerja merancang kewangan dengan lebih baik.
Sama ada untuk menyimpan, melabur, atau sekadar menikmati kehidupan dengan lebih selesa dan gunakan kenaikan ini sebaik mungkin.
Ingat, keperluan harus didahulukan sebelum kehendak!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang