Tampan berbaju Melayu & lancar berbahasa Inggeris, Khairul Aming wakili Malaysia ke 1 Billion Followers Summit. 'Berilmu & bijak, dia tahu matlamatnya...'

No Image Caption
A
A
A

KHAIRUL Aming nama yang tidak asing lagi. Pempengaruh berusia 32 tahun itu baru-baru ini terpilih sebagai panel dan speaker untuk acara khas buat influencer dari seantero dunia, 1 Billion Followers Summit.

Pempengaruh kebanggaan rakyat Malaysia itu menghadiri acara berkenaan bersama pasukannya bersama pencipta kandungan digital, Sofyank.

No Image Caption

Menerusi sesi perkongsian, pemilik nama Khairul Amin Kamarulzaman itu sempat mengulas mengenai peranannya sebagai pempengaruh termasuk tidak hanya terus menyokong (endorse) apa yang dicadangkan dan bagaimana jenama Khairul Aming berjaya meraih jualan tinggi dalam dunia penciptaan kandungan.

"Saya tidak hanya endorse apa-apa perkara terutama sekali yang melibatkan isu awam, saya berhati-hati. Lakukan sedikit kajian.

"Misalnya jika seseorang meminta saya mempromosikan satu link derma kepada public. Jika sewenang-wenangnya kongsikan di laman sosial saya tidak melakukan kajian dan ia sebenarnya scammer, bagaimana? Tentunya saya yang perlu bertanggungjawab, kan?

No Image Caption

"Pempengaruh perlu ikuti sebanyak mungkin ilmu untuk melengkapkan diri membantu orang sekeliling tetapi jangan lupa berhati-hati.

Beliau juga mengulas bagaimana meningkatkan kepercayaan warga maya kepada jenamanya.

"Jika dahulu, mana-mana individu ada modal sahaja boleh buat produk dan jual kepada pengguna. Tetapi kini golongan muda lebih percaya kepada jenama yang mempunyai nilai sama dengan mereka.

No Image Caption

Artikel penuh:

"Hanya selepas empat tahun menghasilkan kandungan tentang makanan dan masakan, baharulah saya mengeluarkan produk yang telus serta asli.

"Apa juga isu yang timbul tentang produk saya termasuk pengeposan, botol pecah, tersalah label dan sebagainya, saya tidak menyorokkkannya daripada audiens sebaliknya mengetengahkannya di dalam media sosial.

"Ia menyebabkan orang ramai nampak kemajuan dari masa ke masa. Dengan itu juga saya mempunyai hubungan baik dengan audiens. Kami juga merancang akan membuka kilang baharu pada Mei ini," ujarnya.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dengan pengkhususan major Kejuruteraan Mekanikal dan minor dalam Material and Science Engineering, Vanderbilt University, Amerika Syarikat itu turut berkongsi kuasa media sosial dalam misi bantuan banjir yang dilakukannya baru-baru ini.

Dengan hanya sebuah hantaran di Instagram, misi berkenaan berjaya mencapai matlamat dalam masa yang singkat.

No Image Caption

"Responsnya di luar jangkaan. Dalam tempoh 24 jam beribu-ribu mangsa banjir telah berjaya diselamatkan. Mereka kesejukan dan tiada pakaian sementelah baharu diselamatkan dari rumah yang dilanda dinaiki air.

"Saya ketika itu berada di ibu negara iaitu Kuala Lumpur. Saya terbang pulang pada hari yang sama.

"Dengan hanya satu Insta Story, saya mengumumkan akan mencari satu lokasi dan menjadikan ia sebagai pusat bantuan banjir dan memerlukan ramai sukarelawan serta barangan keperluan.

"Bukan dalam bentuk wang tunai tetapi barangan bebentuk fizikal seperti makanan dan minuman. Pada pagi keesokan harinya, saya menerima ratusan respons daripada warga maya.

"Saya juga menerima beberapa trak barangan keperluan daripada jenama-jenama besar yang menyumbangkan air mineral dan pakaian.

"Dalam tempoh lima hari, kami berjaya membantu 60,000 mangsa banjir dengan kit perubatan dan makanan. Tidak percaya bagaimana satu Insta Story boleh memberikan impak yang begitu besar.

"Saya percaya faktor keaslian dan kepercayaan diberikan oleh warga maya mempengaruhi, mereka jadi tidak berkira untuk membantu.

"Ia adalah sesuatu yang terbaik yang saya lakukan sepanjang karier sebagai pempengaruh," kongsinya.

Warganet mengakui butir-butir yang disampaikan Khairul Aming iaitu sememangnya benar. Kata mereka, pemilik produk Sambat Nyet itu dipercayai dan menggunakan pengaruh untuk kebaikan.

Tidak kurang juga yang memuji Bahasa Inggeris anak kelahiran Kota Bharu itu yang mudah difahami selain memillih baju Melayu sebagai pakaian untuk muncul dalam diskusi itu. Tanpa aksen English yang pekat walaupun pernah melanjutkan pelajaran di AS, Khairul Aming mempunyai identitinya tersendiri.

"Suka tengok well educated business person macam Khairul Aming bercakap. Nampak bijak dan tahu apa yang dia nak aim dalam business dia. Real problem solver so that business dia move smoothly."

"Respek KA! Dalam apa juga acara yang tidak ada dress code, boleh tengok dengan bangganya dia berbaju Melayu."

"Well spoken English. Thank you for setting a good example."

"Melayu accent mendunia. Itulah kita panggil Manglish, slang bahasa yang kita pakai dalam percakapan English harian di Malaysia. Betapa uniknya bahasa ni. Proud of Malaysia."

Sumber: TT Khairul Aming Fan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang