Siap sedia ibu ayah! Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kembali seawal Jun 2025
PROGRAM Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bakal dilaksanakan semula seawal Jun tahun depan.
Selepas beberapa kali program itu cuba dihidupkan, kini pelaksanaannya dimuktamadkan.
Kepada ibu bapa yang memiliki anak remaja, berikut info berkaitan yang anda perlu tahu:
1-Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelaksanaan PLKN 3.0 ini akan menggunakan konsep dan format baharu.
2-Jelas beliau, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan Tinggi, dan Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah menyediakan dan merangka modul latihan secara berfasa.
3-PLKN akan diperkenalkan di peringkat sekolah (Fasa Pra PLKN) sebagai persiapan mereka menjalani latihan khidmat negara selepas berusia 17 tahun.
4-Mohamed Khaled berkata, fasa Pra PLKN di peringkat sekolah yang melibatkan pelajar Tingkatan Empat, akan dilaksanakan bersama dengan ketetapan pelaksanaan modul GenMadani oleh KPM dan dijangka bermula pada Jun/Julai 2025.
5-Manakala Fasa PLKN Asas pula yang melibatkan peserta 17 tahun dan ke atas di Kem-kem Askar Wataniah (selama 45 hari), ia dijangka dimulakan pada April 2026.
6-Bagaimanapun, projek rintis akan bermula pada Jun/Julai 2025 yang akan melibatkan dua Kem Wataniah dengan sasaran penyertaan seramai 1,000 peserta.
7-Bagi Fasa PLKN Asas di IPTA pula, ia akan bermula pada pengambilan pelajar sesi Akademik 2026/2027.
8- Remaja yang berusia 17 tahun dan ke atas akan dipilih untuk menjalani latihan asas (Fasa Latihan Asas) di 13 buah kem Askar Wataniah di seluruh negara, 20 buah universiti awam dan beberapa politeknik.
9-Fasa latihan asas tersebut merangkumi pengisian latihan yang terdiri daripada modul asas kenegaraan sebanyak 30 peratus dan latihan asas ketenteraan sebanyak 70 peratus.
10-Modul Asas Kenegaraan dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, mengandungi Modul Kenegaraan Elemen Jati Diri, Modul Kenegaraan Elemen Cinta Negara, dan Modul Kenegaraan Elemen Perpaduan.
Baca juga: Tak jadi 2024, PLKN hanya dilaksana 2025, 10 info perlu tahu
11-Modul Asas Ketenteraan pula dibangunkan oleh Kementerian Pertahanan berkonsepkan pembelajaran melalui pengalaman serta latihan berkumpulan.
12-Pelatih akan dilatih untuk mempraktikkan budaya kehidupan tentera seperti disiplin, ketepatan masa, tersusun (organised), dan mandiri (independent).
13-Selain itu katanya, pelatih PLKN juga diberi peluang untuk menjalani latihan lanjutan (Fasa Latihan Lanjutan) mengikut bidang yang mereka minati.
14-Difahamkan modul bagi setiap latihan khusus dibangunkan untuk anggota angkatan tetap, angkatan simpanan dan sukarelawan. Latihan tersebut berbentuk intensif, lapangan dan praktikal.
15-Mohamed Khaled berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Zahari Kechik (PN-Jeli) berhubung status terkini pelaksanaan semula PLKN ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, pelaksanaan PLKN pada 2024 ditangguhkan susulan alasan ia tidak dimasukkan dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada 13 Oktober tahun lalu.
Semoga bermanfaat!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang