PADA masa kini, online shopping seolah menjadi satu kemestian dalam kehidupan norma baharu kini.

Pembelian secara dalam talian juga sememangnya menjimatkan masa. Masakan tidak, pembeli bukan sahaja tidak perlu menghidupkan enjin kenderaan, malah memang menjimatkan masa terutama kepada mereka yang sibuk bekerja.

Menerusi platform online, tiada apa yang tidak dijual. Daripada gajet, barangan elektrik, makanan, baju, tudung, permainan dan sebutlah apa sahaja, semuanya ada.

Kadang-kadang dijual lagi murah berbanding yang dijual di kedai-kedai fizikal.

Di sebalik kerancakan pembelian secara online, nampaknya sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab telah memainkan peranan mereka melakukan jenayah di alam maya. Mereka semua ini dikenali sebagai scammer.

Kalau diselak kembali berita di dada akhbar atau melalui platform media sosial, terlalu banyak penipuan selepas proses pembayaran dilakukan scammer.

Pun demikian, risiko agar tidak menjadi sasaran scammer boleh dikurangkan dengan menyemak maklumat mereka terlebih dahulu.

Seorang individu yang dikenali sebagai Megat Mohd Yaacob melalui laman Facebooknya berkongsi tatacara agar anda semua tidak menjadi mangsa scammer. Antara yang disenaraikannya adalah:

1. Buat carian di Google dengan menaip Semak Mule PDRM.

2. Kemudian, pautan tersebut akan terus membawa anda memasuki laman rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Diraja Malaysia.

3. Sejurus selepas itu, pautan tersebut akan memaparkan dua kategori semakan (boleh dipilih) sama ada kategori ‘akaun bank’ atau ‘nombor telefon’.

4. Pilihlah salah satu daripada kategori tersebut dan kemudiannya masukkan maklumat daripada penjual bersama kod captcha yang terpampang di laman web berkenaan.

5. Akhir sekali, anda boleh menekan butang ‘semak maklumat’ dan keputusan akan tertera dalam hanya beberapa saat sahaja.

Iklan

Ingat, sekiranya tertera kotak amaran berwarna merah, maka berhati-hatilah. Dengan erti kata lain, tidak meneruskan urusan pembelian barangan tersebut.

Bukan itu sahaja, SinarPlus turut ingat mengingatkan orang ramai, setiap kali pembelian dilakukan, pastikan akaun bank disemak bagi memastikan bahawa jumlah pembelian sama seperti yang ditunjukkan di laman jualan.

Jangan lupa, simpan bukti pembelian seperti resit, perbualan dalam aplikasi sosial atau e-mel.

Iklan

Bukti berkenaan penting terutamanya bagi kes barangan yang tidak sampai kepada pelanggan.

Jika berlaku masalah yang tidak diingini, aduan boleh dibuat melalui Khidmat e-aduan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna atau terus membuat laporan polis.

Oleh itu, belilah secara berhemah, kenali scammer dan pastikan pembelian hanya dilakukan melibatkan penjual yang boleh dipercayai.

Sumber: Facebook Megat Mohd Yaacob