BERTUAHNYA kepada mereka yang bergelar penjawat awam. Kerajaan menyediakan insentif ex-gratia kematian sehingga RM150,000!

Barangkali ramai lagi yang tak tahu,  Ex-Gratia Kematian adalah pemberian kerajaan kepada tanggungan penjawat awam yang meninggal dunia dalam perkhidmatan, dengan tempoh perkhidmatan kurang daripada 20 tahun atau 240 bulan.

Tujuannya adalah bagi membantu meringankan beban tanggungan atau waris penjawat awam yang meninggal dunia dalam tempoh tidak lebih 240 bulan perkhidmatan.

Ia diberikan kepada balu, duda, anak, ibu atau bapa yang layak.

Bagaimanapun, Ex-Gratia Kematian ini tidak diberikan kepada kes-kes kematian penjawat awam yang disahkan akibat daripada membunuh diri.

Pelaksanaan Ex-Gratia ini berkuatkuasa pada 1 Januari 2020 berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2019.

Ini bermakna, kematian penjawat awam yang berlaku pada 1 Januari 2020 dan selepasnya akan layak untuk diberikan Ex-Gratia Kematian.

Kategori Penjawat Awam Yang Layak

Ex-Gratia Kematian akan diberikan kepada penjawat awam sama ada berstatus sementara atau tetap yang memilih Skim Pencen ataupun Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Terdapat 4 kategori penjawat awam yang layak memohon iaitu:

1. Penjawat Awam Perkhidmatan Awam Persekutuan
2. Penjawat Awam Perkhidmatan Negeri
3. Penjawat Awam Pihak Berkuasa Berkanun
4. Penjawat Pihak Berkuasa Tempatan

Jumlah Pemberian Ex-Gratia Kematian
Kadar pemberian Ex-Gratia Kematian ini adalah bergantung kepada tempoh perkhidmatan penjawat awam (si mati) tersebut.

Jumlah pemberian Ex-Gratia Kematian adalah seperti berikut:

# Perkhidmatan kurang 60 bulan: RM150,000
# Perkhidmatan 61-120 bulan: RM100,000
# Perkhidmatan 121-180 bulan: RM75,000
# Perkhidmatan 181-240 bulan: RM50,000
# Perkhidmatan lebih 240 bulan: Tiada

Pelaksanaan Pembayaran

Pembayaran Ex-Gratia Kematian dibuat secara sekali gus kepada waris yang layak.

Pelaksanaan pembayaran hanya dibuat kepada balu atau duda atau anak (bawah 21 tahun) atau ibu atau bapa kepada anggota awam yang meninggal dunia dalam tempoh perkhidmatan kurang daripada 20 tahun atau 240 bulan sahaja yang layak.

Namun demikian, pembayarannya mempunyai pecahan seperti berikut:

Iklan

1. 9/10 syer (90%) akan dibayar kepada balu/duda dan anak-anak bawah 21 tahun.
2. 1/10 syer (10%) akan dibayar kepada ibu, jika ibu telah meninggal, kepada bapa gemulah.
3. Syer penuh 100% kepada balu/duda/anak sekiranya ibu dan bapa gemulah sudahpun meninggal dunia.
4. Syer penuh 100% kepada ibu, jika ibu telah meninggal dunia, kepada bapa gemulah yang meninggal dunia berstatus bujang (tiada pasangan/tiada anak).

Cara Permohonan

Bagi penjawat awam yang telah memilih skim pencen, permohonan Ex-Gratia Kematian akan diproses bersekali dengan permohonan faedah persaraan terbitan.

Bagi penjawat awam yang memilih Skim KWSP, tatacara permohonan adalah seperti berikut:

1. Muat turun borang permohonan di sini.
2. Isi maklumat gemulah, pemohon, anak, ibu atau atau bapa dan pengakuan pemohon dengan lengkap di dalam borang permohonan tersebut.
3. Borang tersebut kemudiannya perlu mendapat pengesahan daripada Ketua Jabatan.
4. Borang permohonan perlulah disertakan dengan dokumen berikut:

Iklan

i) Sijil Buku Perkhidmatan Kerajaan yang disahkan.
ii) Kenyataan Cuti
iii) Sijil Kematian Anggota
iv) Kad Pengenalan/MyKid/Sijil Lahir setiap waris
v) Sijil Nikah/Sijil Cerai (jika berkaitan)
vi) Sijil Lahir anak anggota
vii) Sijil Lahir Gemulah
viii) Akaun bank perseorangan setiap waris
ix) Borang Pengesahan Anak Belajar di Institusi Pengajian Tinggi (Borang JPA.BP.SPT.B03a) (jika berkaitan)
x) Sijil Pengangkatan (jika berkaitan)
xi) Borang Daftar Anak Kurang Upaya (Borang JPA.BP.UMUM.B04) (jika berkaitan)
xii) Sijil Akuan Berhutang dengan dokumen pembuktian yang lengkap

5. Borang permohonan dan dokumen yang lengkap perlu dihantar kepada:

Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia,
Bahagian Pasca Perkhidmatan,
Aras 5, Blok C2, Kompleks C,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62510 PUTRAJAYA.

Pertanyaan Lanjut

Pemohon yang ingin mengemukakan pertanyaan lanjut boleh menghantar email kepada mypesara@kwap.gov.my atau menghubungi talian 03-8887 8777

Sumber: Jabatan Perkhidmatan Awam