Gadis 16 tahun maut, ditekup bantal oleh kekasih, berikut kronologi kejadian
GADIS berusia 16 tahun dijumpai maut dipercayai ditekup bantal oleh kekasih.
Itu yang terjadi kepada seorang gadis yang juga pelajar Tingkatan Empat, dipercayai dibunuh oleh teman lelakinya di rumah lelaki itu di Kampung Idaman, Pandamaran, Klang, Selangor, kelmarin.
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Cha Hoong Fong, berikut kronologi kejadian;
1. Pihaknya menerima panggilan telefon kira-kira jam 3.40 pagi yang memaklumkan terdapat seorang remaja perempuan dalam keadaan tidak sedarkan diri di halaman rumah itu.
2. Pada jam 2 pagi kelmarin, suspek membawa mangsa ke bilik rumahnya, kemudian berlaku perselisihan faham dan suspek dipercayai telah menyebabkan kematian mangsa.
3. Suspek kemudian telah mengangkat mangsa dan membawa keluar dari bilik hingga ke halaman rumah.
4. Kemudian suspek meminta bantuan daripada ahli keluarganya yang sedang tidur di dalam rumah tersebut.
5. Ahli keluarga kemudian menelefon polis memaklumkan mengenai kejadian itu dan kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi berkenaan.
Baca juga 3 kanak-kanak ditemui pucat lesi, tertiarap, setahun dikurung ibu umpama tahanan
6. Suspek berusia 24 tahun itu dan mangsa, pelajar Tingkatan Empat, sudah berkenalan selama setahun serta hubungan mereka diketahui keluarga masing-masing, selain mangsa tinggal di Puchong bersama bapa saudaranya.
7. Hasil pemeriksaan awal pada badan mangsa mendapati beberapa kesan calar dan lebam di bahagian muka dan leher.
8. Laporan bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas akibat ditekup.
9. Suspek, yang tiada rekod lampau, ditangkap di lokasi kejadian dan kini direman sehingga 3 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, ibu bapa merupakan insan paling bertanggungjawab dalam mendidik anak-anak terutamanya gadis remaja.
Antara pendekatan yang patut didedahkan mereka adalah;
1. TINGKATKAN ILMU AGAMA AGAR TAHU BATASAN
Tingkatkan mereka dengan ilmu agama terutamanya yang sudah akil baligh. Tekankan kepentingan solat lima waktu yang perlu dijaga setiap hari. Kalau boleh, amalkan solat berjemaah bersama keluarga, sekurang-kurangnya pada hujung minggu.
Dalam usia ini juga ramai anak perempuan mula cenderung terhadap lelaki. Jadi, seelok-eloknya pastikan suami anda memberi perhatian kepada mereka supaya mereka dapat kasih sayang secukupnya daripada seorang lelaki yang sepatutnya, bukan mereka yang belum matang di luar sana!
2. RISIKO YANG SETIAP PERBUATAN YANG DILAKUKAN
Anak yang semakin membesar suka mencuba apa sahaja. Jelaskan pada mereka bahayanya mencuba perkara-perkara yang salah di sisi agama dan risiko yang bakal dihadapi.
Dalam pada itu, jangan pula terlalu mengawal sehingga mereka berasa tertekan. Rujuklah buku-buku berkaitan pendidikan anak-anak di usia remaja dan kongsikan masalah bersama ibu yang lain.
3. CABARAN DUNIA LUAR
Semakin menginjak dewasa, semakin banyak cabaran yang perlu dilalui oleh kaum perempuan.
Jelaskan pada mereka yang apa yang mereka perlu hadapi kelak di dunia yang penuh cabaran.
Ceritakan kisah-kisah nabi dan para sahabat, terutamanya wanita yang diceritakan dalam Al-Quran supaya anak-anak dapat mencontohi ketinggian akhlak mereka.
4. BAHAYA PENGGUNAAN DADAH, PIL ECSTASY DAN SEWAKTU DENGANNYA
Pada usia ini, mereka cenderung mendengar kata kawan-kawan daripada ibu bapa. Mereka juga mudah terjebak dengan anasir yang tidak baik akibat pengaruh kawan-kawan sebaya.
Beri pengetahuan mengenai bahayanya dadah, pil khayal yang diberi oleh kawan dan sebagainya.
Cari masa yang sesuai untuk berkongsi perasaan, dan pastikan anda mempunyai masa untuk berbual dengan mereka.
Di samping itu, anda perlu memberi perhatian kepada akses telefon pintar dan media sosial daripada disalahgunakan.
Baca juga Malang tak berbau, wanita ini patah tulang rusuk gara-gara sebiji buah kelapa
5. BERUSAHA UNTUK MENDAPATKAN YANG DIINGINI
Latih anak menabung duit sendiri jika inginkan sesuatu. Jangan manjakan anak dengan memberi duit dan memenuhi semua keperluan mereka.
Pastikan mereka juga diajar untuk membantu kerja-kerja harian di rumah. Paling tidak pun, cukuplah dengan menguruskan pakaian dan makanan sendiri. Hal ini penting dalam menjadikan mereka seorang yang bertanggungjawab.
6. MENINGKATKAN PENAMPILAN DIRI
Latih mereka supaya memakai pakaian yang sesuai lengkap dengan menutup aurat dalam majlis yang dihadiri. Misalnya baju kurung untuk majlis keagamaan dan pakaian formal untuk majlis keraian.
Imej dan keterampilan diri memainkan peranan dalam membentuk identiti mereka. Selain itu, ia mendorong mereka untuk lebih beradab dalam menghadiri majlis.
Dengan bimbingan dan sokongan berterusan daripada ibu bapa, tidak mustahil anak perempuan akan menjadi lebih rapat dan berkongsi pelbagai masalah dengan anda.
Semoga anak-anak kita dapat menghindarkan diri daripada masalah sosial yang semakin tidak terkawal dan berleluasa pada zaman sekarang.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang