KEGAGALAN dalam membuat sesuatu perkara adalah kebiasaan dalam sesebuah kehidupan. Kita pasti pernah merasai kegagalan dan itu adalah perkara normal.

Apabila gagal, pelbagai nasihat kita dengar daripada orang keliling, ada yang positif, ada juga yang negatif.

Yang positif itu semestinya bagus kerana lebih menguatkan semangat kita untuk memperbaiki kelemahan diri.

Namun ada juga ungkapan negatif berbunyi “Haaaa. kan dah kata, sure gagal punya. Nampak sekarang apa dah jadi” Itu antara suara negatif yang tidak membantu langsung dan adalah lebih baik kita jauhkan daripada golongan seperti itu.

Dalam pada itu, gagal ujian memandu juga sering didengar yang mana kita terpaksa mengambil ujian tersebut untuk mendapatkan lesen yang sah.

Sehingga terdapat juga kes yang mana akibat tertekan gagal ujian memandu buat kali keempat, penuntut kolej bertindak menghunuskan pisau terhadap anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di persimpangan lampu isyarat.

Kejadian mengejutkan yang berlaku dua tahun lalu di Batang Benar, Mantin, Nilai, Negeri Sembilan pastinya mengejutkan orang ramai dan berharap kejadian seumpama itu tidak lagi berulang.

Jadi, apa yang perlu kita lakukan untuk lulus ujian memandu dengan mudah?

Memetik artikel yang diterbitkan oleh Kurikulum Pendidikan Pemandu di laman Facebook mereka, calon mestilah hadir dengan berpakaian sopan dan bertatatertib.

Wajib memakai kasut. Sentiasa tenang dan jangan sesekali kelam-kabut atau menggelabah.

Tarik nafas dalam-dalam dan lepaskannya sebelum memulakan ujian. Kebanyakan punca gagal (hampir 99 peratus) adalah kerana kelam-kabut, menggelabah menyebabkan terlupa apa yang telah dipelajari sebelum ini.

Selagi kita dalam keadaan tenang dan waspada, selagi itulah tidak ada masalah untuk lulus dengan cemerlang.

Bagi yang beragama Islam, jangan sesekali lupa memulakan dengan “Bismillah…”

Buang serta-merta ingatan korang kepada kegagalan-kegagalan semasa belajar memandu.

Sebaliknya, gantikan serta-merta dengan kejayaan-kejayaan semasa belajar memandu.

Berterusan ingat tanpa henti kejayaan-kejayaan semasa belajar memandu, sebaik sahaja korang mula menunggu giliran hinggalah selesai ujian.

Di bawah adalah tip-tip untuk kejayaan semasa ujian di atas jalan raya:

1) Berhenti di persimpangan

Berhenti enam meter belakang garisan. Tarik brek tangan. Bagi signal ke arah hendak belok. Pastikan tiada kereta datang dari sebelah kiri atau kanan sebelum bergerak. Jangan terburu-buru atau tergesa-gesa.

2) Memandu di jalan raya

Memandu ketika di selekoh atau persimpangan, had laju 30 km/j. Di jalan raya, had laju purata 60 km/j, namun sebaiknya kekalkan 30 km/j dengan gear tiga.

Kawal stereng dengan baik dan elakkan dari tidak stabil. Beri laluan kepada kenderaan dan pengguna lain.

Iklan

3) Memandu di garisan dua (Double Line)

Jangan potong di garisan kembar. Demikian juga di selekoh.

4) Memandu di Lampu Isyarat

Calon hendaklah mematuhi lampu isyarat. Kalau kenderaan belum lepasi garisan kuning, berhenti. Kalau kenderaan sudah lepasi garisan, maka berjalan secara berjaga-jaga saja.

Semasa berhenti di lampu isyarat, tukar gear kepada ‘free’. Tarik ‘brake’ jika lampu isyarat tersebut adalah cerun mendaki.

Masukkan gear 1 dan buat imbangan ‘clutch’ dan ‘minyak’ yang dipelajari di dalam litar ketika mendaki cerun/bukit. Lepaskan hand brake dan jalan dengan perlahan. Jangan tergesa-gesa.

5) Kawalan Stereng

Iklan

Kedudukan tangan kanan dan kiri di stereng elok berposisi pukul 10 dan 2. Juga pasti memegang stereng tangan jangan bersilang.

Jangan guna sebelah tangan semasa memandu. Korang juga diizinkan memegang stereng dengan satu tangan apabila menukar gear.

Memandu dengan tenang semasa di jalan raya. Kebanyakannya gagal dalam ujian jalan raya adalah kerana kelam-kabut, menggelabah dan terlupa apa yang dipelajari sebelum ini.

Apabila sampai balik ke litar, berhentikan kenderaan dan tarik ‘hand-brake’. Tanya pegawai JPJ kalau dia hendak kunci suis ditutup atau tidak. Patuhi arahannya.

Kesalahan kecil menjadi punca kegagalan

Di dalam kertas ujian yang dipegang oleh penguji tersedia 20 kotak. Setiap kali betul, kotak itu akan ditanda. Contoh kesalahan kecil yang menyebabkan ditolak 1 markah untuk 1 kesalahan:

  • Tidak menguji lampu isyarat dan pengelap cermin berfungsi atau tidak.
  • Berhenti di simpang tiga dan tarik brek tangan serta bebaskan gear tetapi kaki anda tidak menekan pedal brek semasa menunggu.
  • Tidak membetulkan cermin sisi dan pandang belakang.

Elakkan sama-sekali kesalahan-kesalahan yang disangka kecil itu. Sebelum memulakan ujian, sebaik sahaja masuk ke dalam kereta, 10 perkara ini mesti dilakukan mengikut urutannya:

  • Betulkan/selaraskan tempat duduk
  • Betulkan/selaraskan cermin sisi kanan
  • Betulkan /selaraskan cermin pandang belakang (cermin tengah)
  • Betulkan/selaraskan cermin sisi kiri
  • Pakai tali pinggang keledar (mandatori)
  • Signal kanan
  • Signal kiri
  • Signal kanan kiri serentak (depan stereng)
  • Lampu depan
  • Pengelap cermin

Contoh kesalahan mandatori penyebab utama gagal ujian memandu

  • Tidak menarik ‘hand-brake ‘dan bebaskan gear (free gear) ketika berhenti di simpang tiga.
  • Terus memandu semasa lampu isyarat menunjukkan warna merah.
  • Memandu melebihi 60km sejam.
  • Menukar lorong tergesa-gesa dan membahayakan.
  • Melanggar garisan pembahagi di tengah-tengah jalan.
  • Terlupa memberi isyarat semasa hendak membelok dan memotong.
  • Tidak berhenti di simpang tiga atau berhenti tetapi di atas atau terlebih garisan berhenti.