BERBEZA dengan zaman dahulu anak muda kini lebih banyak memegang telefon pintar menghabiskan masa dengan permainan video online.

Kadangkala mereka sukar untuk menolak ataupun berhenti bermain dek terlalu asyik dengan game online tersebut.

Keseronokan yang dinikmati mengejar misi ditetapkan dalam permainan online membuatkan pemain tidak sedar masa berlalu begitu sahaja. Makan entah kemana, waktu tidur pun tidak konsisten.

Akhirnya tugasan harian yang seharusnya diselesaikan atau menjadi kewajipan terbengkalai berhari-hari.

Inilah situasi dikongsikan oleh seorang pemuda yang juga merupakan guru Matematik, Mohd Fadli Salleh.

Beliau mengakui dirinya pernah tidak tidur selama dua malam dek taksub bermain game di telefon pintar.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana mendapat kesedaran awal daripada terus terjebak dalam dunia fantasi itu.

“Sejujurnya aku salah seorang daripada mereka ‘dirantai’ dengan telefon bimbit. Telefon asyik di tangan saja.

“Sampai satu masa, aku sedar, aku lebihkan kawan maya daripada anak dan isteri yang depan mata.

“Masa tu aku banyak terbaca tentang betapa ruginya kita tak menghargai seseorang semasa mereka ada. Apa lagi keluarga kita, isteri, anak-anak dan ibu bapa,” luahnya.

games

Enggan membiarkan diri hanyut dengan perkara sia-sia Mohd Fadli bangkit mengubah gaya hidup.

“Sejak itu aku ubah sikap. Masa bersama isteri dan anak-anak, aku letak terus telefon. Tengah menaip status, tengah reply komen, bila anak datang bertanya, anak datang nak main, isteri duduk sebelah nak berinteraksi, aku letak telefon. Simpan dalam poket.

“Aku bagi hak isteri untuk dia meluah apa sahaja. Aku bagi hak anak-anak untuk bermain dan bertanya. Itu hak mereka. Hak yang kita nafikan kerana ralit dengan dunia maya,” kongsinya.

Menurutnya, permainan tersebut membuatkan sesiapa sahaja menjadi ketagih dan lalai.

Iklan

“Aku ni kalau main game memang tak ingat dunia. Pernah la dulu sampai tak tidur dua malam duk layan game saja.

“Sampai satu ketika, semua tu aku tinggalkan. Aku tahu jika mula balik, ia jadi ketagih, buatkan aku lalai.

“Sebut apa saja game tersohor zaman kini. Mobile Legend? PUBG? COD? Semua aku tak pernah install dan tak pernah pun main.

“Aku takut aku ketagih hingga abai tanggungjawab aku.

“Ketagihan pada games terutamanya memang real. Dah macam ketagih dadah. Memang tak hirau anak isteri dah,” tegasnya.

Selain itu, Mohd Fadli juga berkongsi pengalaman seorang kawannya yang berdepan dengan ‘kaki’ game.

“Kelmarin aku terbaca, seorang kawan bercerita tentang pelanggannya datang basuh kereta di kedai carwash dia.

“Seorang lelaki keluar dari kereta, duduk menunggu di sofa dan terus bermain game. Kawan aku ini basuh kereta pelanggan macam biasa. Waktu dah nak siap baru perasan ada anak kecil menangis teruk kat seat belakang.

“Terus dia bagitahu si ayah tentang anak itu kot-kot ayah lupa. Boleh ayah dengan selambanya kata, ‘Biarkan dia’.

“Marah kawan aku. Marah sungguh dengan lelaki ini. Terus dia suruh hambat pulang saja,” ujarnya.

Baca juga Hidung kerap gatal gara-gara pakai pelitup muka terlalu lama, ini cara mudah atasinya

Pesan beliau, kepada yang telah terjebak, hentikanlah. Fokuskan kepada anak-anak dan isteri.

Iklan

“Ketagihan game memang bagi impak buruk. Bila dah mula main, nak berhenti cukup payah. Tambah-tambah game online yang punya misi, punya pihak lawan secara live.

“Anak tanya dia tak layan, isteri minta tolong kena marah, anak kecil datang merangkak minta didukung tak layan dah. Memang sesiapa pun akan terasa hati dengan kita jika begitu sikap kita.

“Jadi tolonglah kawan-kawan. Yang mana ketagih game tu, hentikan lah. Melainkan kau bujang tak ada masalah.

“Tapi kalau ada anak isteri, delete je game tu. Stop teruslah. Anak dan isteri ni amanah kita. Ada tanggungjawab besar kita ke atas mereka. Betapa banyak kita mengabaikan tanggungjawab kita kerana fokus pada game sahaja.

keluarga

“Jika kita ditempat mereka, jika kita ingin bercakap dengan pasangan kita tapi mereka tak layan sebab fokus main game apa perasaan kita? Pasti marahkan? Pasti terguriskan? Pasti
terasa hatikan? Begitu juga perasaan anak dan isteri kita.

“Dan akhir sekali, tolong ingat betul-betul. Kita ini manusia yang punya nyawa. Dan nyawa ini tidak kekal selamanya dalam badan kita.

“Jika kita pergi dahulu atau mereka pergi dahulu, pasti kita kesal yang sangat kerana tidak menghargai mereka saat mereka ada di sisi. Begitulah,” ujarnya.

Memang tidak dinafikan ketagihan game online membawa implikasi buruk termasuk menjejaskan kesihatan mata, dan psikologi.

Selain orang sekeliling diabaikan, ia juga membazirkan masa dan wang.