SEHINGGA kini COVID-19 telah menjangkiti lebih 21 juta orang dan menyebabkan lebih 700,000 kematian di seluruh dunia.

Di Malaysia, walaupun bilangan kes sudah menurun berbanding pada bulan April dan Mei, tetapi saban hari masih terdapat kes dan kluster baru yang dilaporkan.

Keadaan ini menimbulkan tanda tanya, bilakah ia akan berakhir? Jawapannya terletak di tangan kita semua. Kita harus bersama-sama mengamalkan langkah pencegahan iaitu mencuci tangan dengan kerap, penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

Untuk mengurangkan risiko penyebaran virus di tempat-tempat awam, kerajaan mewajibkan pengusaha kedai untuk melakukan saringan suhu, mendaftar pelanggan dan menyediakan hand sanitizer sebelum pelanggan memasuki premis.

Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan pengusaha didenda. Setelah lebih kurang lima bulan pasca PKP pertama, didapati bahawa sebahagian besar daripada pengusaha masih akur dengan arahan ini.

Mencuci tangan dengan air dan sabun adalah sangat digalakkan sebagai salah satu langkah pencegahan terutamanya ketika kita berhadapan dengan pandemik COVID-19. Selain mengelakkan kita mendapat jangkitan, pencucian tangan dengan kerap juga boleh mengelakkan kita menyebarkan jangkitan kuman.

Jika kemudahan mencuci tangan dengan menggunakan air dengan sabun tidak disediakan, sebagai alternatif, hand sanitizer boleh digunakan bagi tujuan yang sama.

Bagaimanapun, terdapat beberapa kerisauan orang awam tentang penggunaan hand sanitizer termasuk kesan sampingan dan keaslian hand sanitizer yang disediakan.

Di samping itu, pemerhatian kami tentang cara-cara orang awam menggunakan hand sanitizer ini masih tidak betul menyebabkan tujuan asal penggunaannya untuk membunuh kuman dikhuatiri tidak tercapai.

Adakah hand sanitizer ini sesuai dipakai pada semua keadaan? Jika tangan anda terlampau kotor selepas aktiviti seperti berkebun ataupun dalam keadaan berminyak seperti setelah memasak makanan, sesudah makan, selepas bersukan, membaiki mesin atau jentera; tangan hendaklah dibasuh dengan menggunakan air serta sabun. Ini adalah kerana sifat sabun yang bersifat anti-minyak dapat membersihkan tangan anda dengan sempurna berbanding dengan penggunaan hand sanitizer.

Kadangkala kita lihat ada individu yang hanya menggunakan hand santizer sebelum makan dengan anggapan bahawa tangan mereka sudah bersih, sebenarnya, hand sanitizer hanya boleh membunuh kuman tetapi tidak dapat menghilangkan bahan-bahan seperti sisa racun serangga yang ada pada tangan dan juga tidak dapat mengilangkan logam berat yang mungkin ada pada tangan kita.

Jenis-jenis Hand Sanitizer

Mengikut kajian, larutan alkohol sekurang-kurangnya 60% dapat membunuh koronavirus. Oleh yang demikian, pengguna adalah disarankan untuk memilih hand sanitizer yang beralkohol daripada jenis ethanol atau isopropanol yang kandungannya melebihi 60%. Namun begitu, penggunaan alkohol yang kerap boleh menyebabkan kulit kering dan luka. Bau alkohol yang kuat pula boleh mengganggu sistem pernafasan seseorang. Jika seseorang itu mendapat alahan pada kulit atau mempunyai luka yang terdedah, dapatkan nasihat doktor sebelum meneruskan penggunaan hand sanitizer ini.

Seperti cecair yang mengandungi bahan kimia yang lain, simpan hand sanitizer di tempat yang tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak, simpan di tempat yang mempunyai suhu yang tidak terlalu ekstrim seperti terlampau panas atau sejuk.

Pilih hand sanitizer yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia kerana mutu dan keasliannya terjamin serta selamat untuk dipakai. Sebenarnya, produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi adalah merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952. Oleh itu, jadilah pengguna yang bijak dan berhati-hati semasa membeli produk hand sanitizer di pasaran. Semakan status produk boleh dibuat di laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di pautan www.npra.gov.my. Hand sanitizer yang bermutu mempunyai bau yang menyenangkan (tidak menusuk ke hidung) dan juga bahan tambahan yang bertindak sebagai pelembab kulit.

Di kebanyakan premis, hand sanitizer diletakkan di dalam bekas penyembur untuk memudahkan penggunaannya. Ada kemungkinan ia dibancuh sendiri atau dibeli daripada pengeluar yang tidak berdaftar.

Terdapat laporan bahawa hand sanitizer yang disediakan berwarna putih seperti susu; mungkin hasil daripada larutan disinfektan. Larutan disinfektan diformulasikan untuk mencuci permukaan dan tidak sesuai digunakan pada kulit.  Penggunaan hand sanitizer yang tidak diketahui kandungannya bukan sahaja memudaratkan dari segi kesihatan tetapi ia juga mungkin tidak berkesan untuk membunuh kuman.

Iklan

Cara penggunaan hand sanitizer yang betul

Untuk membunuh kuman dan menghalang jangkitan, hand sanitizer hendaklah diletakkan di atas tapak tangan dan diratakan secara menggosokkannya di kedua-dua belah tangan. Pastikan semua bahagian tangan termasuk tapak tangan, belakang tangan, celah-celah jari, hujung jari dan kuku serta pergelangan tangan digosok dan diratakan. Oleh kerana sifat alkohol itu sendiri mudah meruap, mulakan gosokan sebaik sahaja cecair hand sanitizer ini diletakkan pada tangan anda. Lakukan pergerakan secara berulang-ulang sehingga semua permukaan tangan dibersihkan.

Jika anda memasuki pusat membeli belah yang besar, setelah suhu anda diperiksa, pengawal yang bertugas akan menyemburkan hand sanitizer pada tangan pelanggan. Kebiasaannya jumlah yang diperolehi sangat sedikit, tidak cukup untuk diratakan di kedua-dua belah tangan. Jika ini terjadi, minta pengawal keselamatan tersebut menyembur dengan lebih banyak lagi cecair tersebut atau lebih bagus lagi, anda gunakan cecair hand sanitizer yang anda bawa. Ini bukan sahaja dapat memastikan bahawa kuantiti yang digunakan adalah mencukupi, bahkan anda yakin bahawa cecair hand sanitizer anda dapat membunuh kuman kerana ia adalah daripada jenis yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Apa yang perlu kita lakukan sebagai pelanggan?

1. Bawa hand sanitizer sendiri dan tunjukkan kepada pengawal. Guna hand sanitizer yang sesuai dengan kulit anda. Tuang secukupnya, pastikan hand sanitizer meliputi seluruh bahagian tangan.

2. Elak daripada menyentuh permukaan yang sering disentuh seperti tombol pintu dan butang lif. Sebaliknya, guna badan atau siku untuk membuka pintu. Jika anda terpaksa membuka pintu dengan menyentuhnya, gunakan pelapik seperti tisu dan dibuang setelah menggunakannya.

Iklan

3. Elak memegang pelitup muka, mata, tangan dan hidung.
Setelah keluar dari premis, cuci tangan sekali lagi.

4. Mencuci tangan selepas keluar dari premis adalah sama atau lebih penting daripada mencuci tangan sebelum masuk ke premis.

Apa yang perlu dilakukan oleh pengusaha?

1. Sediakan hand sanitizer yang sesuai
2. Jangan campurkan air atau bahan-bahan lain ke dalam botol cecair hand sanitizer untuk atas faktor penjimatan
3. Selain di pintu masuk utama premis, letakkan juga hand sanitizer di beberapa kawasan lain terutamanya di tempat-tempat yang kerap disentuh ataupun sentuhan tidak boleh dielakkan seperti di dalam lif dan tangga.
4. Sediakan alat hand sanitizer tanpa sentuh, daripada jenis infra merah ataupun jenis yang menggunakan kaki.
5. Buat pengumuman berkala menggunakan alat siaraya ataupun penampalan poster-poster mengingatkan pelanggan supaya membersihkan tangan dengan kerap. Ini bukan sahaja dapat mengelakkan jangkitan dan menyelamatkan nyawa bahkan mengelakkan kerugian kepada pengusaha sekiranya premis mereka terpaksa diberhentikan operasi untuk sementara akibat jangkitan oleh kluster-kluster COVID-19.

Penulis:
Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed (Pakar Mikrobiologi Klinikal) & Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani ( Pakar Kesihatan Awam)
Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia

Prof Madya Dr Nurul Azmawati dan Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi