BARU-BARU ini media sosial heboh menceritakan isu bil elektrik yang dikatakan meningkat secara mendadak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelbagai cerita dan andaian timbul dalam kalangan pengguna sekali gus menimbulkan keresahan orang ramai.

Rata-rata pengguna meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mendakwa operasi membaca meter dan penyerahan bil fizikal telah dihentikan sementara waktu ketika PKP. Oleh itu bacaan diambil secara prorata.

Jadi, apa yang perlu korang buat jika bil yang diterima melambung tinggi atau tidak masuk akal?

Terbaharu, pengguna elektrik di Sarawak yang menerima bil tinggi disaran mengambil gambar penggunaan sebenar elektrik di meter premis mereka dan menghantarnya kepada Sarawak Energy Berhad (SEB), untuk semakan semula.

SEB, syarikat pembekal tenaga elektrik tunggal di negeri ini menyatakan, bil yang dikeluarkan untuk bulan Jun juga mencerminkan anggaran penggunaan untuk tempoh antara Mac dan Mei tahun ini, kerana kerja pembacaan meter sebenar ditangguhkan ekoran pelaksanaan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengurus Besar (Runcit) SEB, Ng Shou Fui dalam satu kenyataan hari ini berkata, dalam tempoh PKP, kebanyakan bil untuk bulan Mac, April dan Mei adalah berdasarkan anggaran penggunaan, dikira melalui corak penggunaan pengguna sebelum tempoh PKP.

Berikutan kebanyakan pengguna dan keluarga mereka berada di rumah sepanjang tempoh PKP, kemungkinan mereka lebih kerap menggunakan peralatan elektrik, yang mengakibatkan peningkatan penggunaan tenaga di rumah masing-masing.

“Kami menggesa pelanggan kami yang menghadapi sebarang masalah berhubung bil elektrik mereka untuk menghubungi eksekutif khidmat pelanggan di pusat khidmat pelanggan kami.

Iklan

“Ambil gambar bacaan di meter dan petugas kami akan membuat pengiraan semula. Bil yang dibetulkan akan dikirim melalui e-mel kepada pelanggan,” katanya.

Selain itu korang juga boleh menghantar gambar-gambar bacaan meter ke pusat khidmat pelanggan SEB yang terdekat, melalui e-mel ke customercare@sarawakenergy.com, atau menerusi aplikasi mudah alih mereka, SEB Cares, yang tersedia di Google Play Store, Apple App Store atau https://sebcares.sarawakenergy.com.my.

SEB juga membantu pelanggan mendapatkan potongan harga daripada bil mereka seperti yang diumumkan di bawah pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) untuk mengurangkan beban pengguna ekoran pandemik Covid-19.

Iklan

Di bawah kedua-dua pakej yang dibiayai oleh kerajaan itu, semua pemegang akaun yang layak daripada kategori domestik, komersil dan perindustrian akan memperoleh bil elektrik mereka secara automatik, dan diberikan diskaun antara lima dan 25 peratus, bergantung kepada kelayakan, untuk penggunaan antara April dan September tahun ini.

Jadi, tunggu apa lagi? Segera semak dan jika berlaku sebarang masalah atau kemyuskilan segera ambil gambar dan lakukan tindakan berikutnya.