Hanya sekali imbas dengan menggunakan QR code, SmartHalal mudahkan pengguna

January 30, 2021
Oleh Meen

KEHIDUPAN kita hari ini yang dihidangkan dengan pelbagai barang makanan dan minuman menuntut kita berwaspada serta berhati-hati dalam mengguna barangan tersebut.

Mana tidaknya isu makanan halal dan haram bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah oleh umat islam.


Justeru itu, kewajipan menggunakan makanan dan barangan halal amat penting dalam kehidupan kita seharian.

Halal suatu makanan dan minuman itu berkait rapat dengan sumbernya, cara pemprosesan, premis atau tempat ia diproses.

Jika ia berkaitan dengan haiwan, ia hendaklah disembelih mengikut ketentuan Syarak. Manakala haram suatu makanan dan minuman it pula bergantung kepada sumber dan bahannya seperti cara pemprosesannya dan keadaan premis.

Iklan

Misalnya makanan dan minuman yang diproses menggunakan atau mengandungi bahan-bahan haram seperti lemak atau daging babi, anjing dan haiwan lain yang tidak disembelih mengikut syarak, darah, arak, najis, racun dan sebagainya.

Namun, sebagai usaha untuk menangai isu tersebut, kini status halal sesuatu produk atau perkhidmatan di pasaran kini boleh diperoleh dengan cepat dan mudah dengan hanya mengimbas QR Code pada aplikasi telefon pintar SmartHalal.

Iklan

Memetik laporan portal media tempatan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini melancarkan satu aplikasi yang dikenali sebagai SmartHalal yang kini sedia digunakan pakai oleh orang ramai.

Orang ramai hanya perlu memuat turun aplikasi telefon pintar SmartHalal terlebih dahulu sebelum menggunakan sistem QR Code tersebut.

“Hanya sekali imbas menggunakan aplikasi telefon pintar SmartHalal yang disediakan, pengguna akan memperoleh pelbagai maklumat pensijilan halal yang ingin dikongsikan,” katanya.

Aplikasi SmartHalal, yang dibangunkan berdasarkan Sistem Pensijilan Halal Malaysia (MYeHALAL), merupakan hasil kerjasama strategik jawatankuasa bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama Islam negeri (JAIN), katanya.

Menurut Zulkifli, aplikasi itu memberi kemudahan kepada orang ramai untuk mendapatkan lokasi serta maklumat tentang pembekal yang telah diiktiraf dan diberi pensijilan halal Malaysia oleh pihak berautoriti di negara ini.

Antara ciri yang terdapat dalam aplikasi SmartHalal ialah pengumuman terkini berkenaan industri halal, carian lokasi melalui google map dan waze, serta carian melalui QR Code.

Zulkifli berkata, Jakim akan terus mengemas kini dan menambah baik sistem QR Code pada aplikasi SmartHalal agar ia sentiasa relevan dan mengikuti perkembangan semasa.

Iklan

About Meen

Biodata Penulis