HARI ini merupakan hari pertama perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi 7 daerah yang mencatat kes Covid-19 di negeri Kelantan.

PKP di Kelantan membabitkan daerah Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah. Semalam kes baru wabak Covid-19 mencapai catatan tertinggi iaitu sebanyak 221 kes.

Penguatkuasaan PKP ini terdahulu diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 14 April lalu. Ia ekoran daripada pengesahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) tentang berlaku peningkatan 30.5 peratus di negeri itu dalam tempoh 14 hari.

“Kes meningkat daripada 756 kes kepada 1,088 kes dan semua tujuh daerah ini kini berada dalam Zon Merah,” kata Ismail kepada portal media tempatan.

Berikut ialah 13 prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.

  • Rentas daerah tidak dibenarkan kecuali atas urusan kerja, pendidikan dan kecemasan.
  • Had penumpang kenderaan mengikut kapasiti sebenar.
  • Pergerakan pekerja memerlukan surat pengesahan majikan
  • Institusi pendidikan dibuka sehingga pemakluman terkini oleh Kementerian Pendidikan atau Kementerian Pengajian Tinggi.
  • Kedai runcit, kedai makan dan lain-lain beroperasi sehingga jam 10 malam.
  • Makan di kedai (dine-in) adalah tidak dibenarkan
  • Stesen minyak dibenarkan beroperasi sehingga pukul 10 malam.
  • Bazar Ramadan dan pasar malam tidak dibenarkan.
  • Solat Tarawih dibenarkan atas ketetapan Majlis Agama Islam Kelantan.
  • Mesyuarat bersemuka dengan kehadiran agensi atau pihak luar tidak dibenarkan.
  • Seminar, bengkel, kursus dan lain-lain tidak dibenarkan.
  • Majlis rasmi dan majlis sosial tidak dibenarkan.
  • Aktiviti sukan dengan persentuhan fizikal tidak dibenarkan.

Penguatkuasaan ini mendapat pelbagai reaksi dan respons daripada warganet. Rata-rata mahu kerajaan mengkaji semula SOP yang ditetapkan terutama sekali tentang operasi sekolah dan kedai makan.

Iklan

Iklan

 

Sumber: YB Dr Izani Husin