KECOH baru-baru ini di laman media sosial dan menjadi topik hangat perbincangan warganet apabila kenyataan yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) yang dikatakan akan mengenakan cas tambahan ke atas ansuran bagi pinjaman sewa beli yang didakwa terhenti selama enam bulan disebabkan oleh PKP.

Namun, keputusan yang dibuat BNM bukanlah satu tindakan ‘u-turn’ sebaliknya ia hanya menjelaskan langkah yang akan diambil institusi kewangan dalam melaksanakan moratorium yang ditawarkan.

Orang ramai dikatakan lebih teruja untuk mendapatkan maklumat mengenai penangguhan bayaran itu sehingga terlepas pandang fakta berkaitan kadar tambahan yang akan dikenakan institusi kewangan.

Apa pun alasan yang diberikan sudah pastinya belum cukup untuk menutup mulut orang ramai yang kini fikiran mereka dihantui oleh 1001 persoalan.

Disebabkan itu, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini mengumumkan pihak bank dan institusi kewangan di negara ini bersetuju melupuskan caj tambahan ke atas ansuran bagi pinjaman sewa beli bagi kedua-dua sistem konvensional dan syariah.

“Persetujuan dicapai untuk menetapkan bahawa jumlah ansuran bulanan pinjaman tidak akan berubah bagi peminjam sewa beli (konvensional dan syariah) sepanjang tempoh pembiayaan tersebut.

“Ini juga bermakna tiada sebarang caj tambahan akan dikenakan sewaktu tempoh moratorium (penangguhan),” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul berkata, peminjam akan perlu menyambung pembayaran ansuran seperti biasa berdasarkan terma-terma perjanjian dengan bank masing-masing.

Ini termasuk tambahan enam bulan bagi keseluruhan jadual pembiayaan jika memilih untuk memanfaatkan moratorium tersebut.

Beliau berkata, maklumat lanjut, boleh didapati daripada bank masing-masing.

Iklan

“Kerajaan berharap keputusan ini akan dapat meringankan beban rakyat dalam tempoh yang mencabar ini,” katanya lagi.

Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1 Mei lalu juga menyatakan rasa kesal kerana pengumumannya mengenai perubahan prosedur untuk moratorium enam bulan untuk pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap menimbulkan kekeliruan dan kerisauan orang ramai.

Tambahan pula kadang ekonomi yang kini semakin tidak menentu malahan ada dalam kalangan orang ramai yang terpaksa berhadapan dengan masalah kewangan akibat tidak dapat keluar bekerja seperti kebiasaan.

Iklan

Diharap kini orang ramai tidak perlu panik dan kerajaan juga tidak pernah duduk diam dan sentiasa berusaha untuk memenangi dan mambantu rakyat.

Susulan itu Tengku Zafrul meminta institusi perbankan memiliki kemampuan untuk melupuskan faedah terakru bagi pinjaman sewa beli dan keuntungan bagi pembiayaan Islam berkadar tetap yang terbabit dalam tempoh moratorium enam bulan.

Beliau berkata ini adalah masa untuk syarikat kewangan bersama-sama kerajaan membantu rakyat yang terkesan dengan Covid-19.