LAGI kes haiwan liar keluar habitat. Jika semalam dilaporkan harimau kumbang kelihatan di sebuah universiti di Kuala Pilah Negeri Sembilan. Malam tadi pula seekor tapir berkeliaran melintas jalan berdekatan universiti di Puncak Alam Selangor.

https://www.facebook.com/633109216896282/posts/1320328868174310/

Kasihan haiwan liar. Ke mana mereka semua mahu pergi dan di mana haiwan liar boleh hidup?

Itu yang dipersoalkan oleh pihak Persatuan Haiwan Malaysia atau Animal Malaysia, selain berkongsi video di atas.

Animal Malaysia turut membangkitkan persoalan mengapa beberapa hari ini binatang liar kelihatan berlegar di kawasan universiti dan berdekatannya terutama universiti terbesar di Malaysia?

“Mungkin kerana binatang ini hendak menegur golongan cerdik pandai yang hanya berdiam diri dengan pembukaan hutan besar-besaran dan pembalakan yang meruncing tanpa ada usaha mengekang, membantah dan mendesak setiap kerajaan negeri mengenai keparahan kehilangan hutan sebagai habitat dan kawasan rayau binatang liar.

Sekali gus mematikan dan memusnahkan warisan alam dan khazanah negara flora dan fauna.

Kuasa perhutanan adalah di bawah kerajaan negeri. Malaysia mencatatkan kepupusan hutan yang semakin memuncak dan memparah terutama di Selangor, Johor dan diikuti dengan Kelantan dan Kedah.

Usaha pragmatik memelihara hutan sebagai tempat perlindungan khazanah tumbuhan, haiwan dan oksigen perlu dilakukan segera. Kebergantungan ekonomi kepada hasil kayu-kayan menunjukkan negara mempunyai pemimpin negeri yang tidak ekonomis.

Golongan yang terlibat dalam aktiviti pembalakan adalah golongan yang menjijikkan dan amat hina di mata masyarakat!

Bersama perangi pembalakan!,” kongsi Animal Malaysia di hantaran Facebook rasminya hari ini.

Elak konflik manusia-hidupan liar

Semalam, kemunculan spesis harimau kumbang di kawasan sebuah universiti di Kuala Pilah Negeri Sembilan turut ditegaskan perlu perhatian segera pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Semenanjung Malaysia (PERHILITAN).

Iklan
Hantaran foto harimau kumbang yang dikongsikan.

Terdahulu kongsi Animal Malaysia, dibimbangi ada pihak yang panik mencederakan atau membunuh harimau kumbang ini. Selain itu langkah keselamatan perlu untuk mengelakkan konflik manusia-hidupan liar apabila wujud ancaman.

“Perlu diingatkan harimau kumbang adalah spesis terlindung dalam Jadual Kedua Akta Pemuliharaan Hidup Liar 2010.

Memburu, membunuh dengan sengaja untuk tujuan memiliki, menjerat, dan menangkap harimau kumbang adalah jenayah berat yang boleh mengheret pelaku ke penjara dengan denda hingga RM100,000.

Kemunculan harimau kumbang keluar dan tonjolkan diri di kawasan awam menunjukkan habitatnya mengecil, kekurangan sumber makanan dan ancaman keselamatan dalam kawasan rayaunya.

Iklan

Libatkan pihak PERHILITAN untuk tangkapan bagi mengelakkan apa-apa kemungkinan serangan supaya spesis dan khazanah berharga ini kekal terpelihara,” kongsi persatuan ini.

Dalam pada itu Animal Malaysia meminta orang ramai  tidak memprovokasi dan menghampiri harimau kumbang sehingga diuruskan oleh PERHILITAN memandang pihak PERHILITAN punya kuasa, kelengkapan dan kepakaran mengendalikan hidupan liar di negara ini.

Harimau kumbang kini sedang dalam pengurusan dan pantauan pihak PERHILITAN Negeri Sembilan untuk relokasi.

Sumber: FB Persatuan Haiwan Malaysia -Malaysia Animal Association