HANYA kerana ditawarkan dengan harga murah dan tak masuk akal kini ramai yang menjadi mangsa dan ditipu oleh individu tidak bertanggungjawab menjual kereta ‘klon’!

Sindikit licik itu sering memperdaya mangsa dengan mengiklankan jualan kereta mewah dengan harga murah berbanding harga pasaran.

Akibatnya, ramai yang terpinga-pinga apabila mengetahui mereka telah terbeli kereta klon, malah lebih teruk, menerima saman atas kesalahan yang tidak dilakukan.

Hati-hati takut terbeli kereta ‘klon’, media sosial jadi medan pengiklanan!

Terbaharu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengesan sindiket kereta klon menjadikan media sosial sebagai platform mereka untuk menjual kenderaan berkenaan kepada orang ramai.

Memetik laporan portal media tempatan, Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, modus operandi sindiket itu kini mengiklankan kenderaan berkenaan secara terbuka dan bukan lagi bersembunyi seperti sebelum ini.

“Mereka (sindiket) ini menjual kereta mewah berjenama luar negara dengan 50 peratus lebih murah berbanding harga pasaran bergantung kepada jenama.

“Kebiasaan sasaran mereka ialah golongan berusia 35 hingga 45  tahun yang berkeinginan untuk memiliki dan bergaya dengan kereta berjenama luar negara…golongan ini tidak memikirkan kesan kepada diri asalkan keinginan mereka dipenuhi,” katanya.

Hanif Yusabra bekata, orang ramai dinasihat tidak mudah terpengaruh dengan iklan-iklan penjualan kereta dengan harga terlalu murah dan tidak munasabah itu.

“Jika meragui status harga yang ditawarkan, masyarakat boleh ke JPJ berdekatan untuk mengesahkan identiti dan status kereta itu sebelum membeli kemudian akhirnya tertipu,” katanya.

Mengulas lanjut, Hanif Yusabra berkata sejak penguatkuasaan bermula 2011 sehingga kini, sebanyak 204 kes kereta klon telah disita.

“Daripada jumlah itu sebanyak 21 kes telah diselesaikan di mahkamah yang melibatkan denda sebanyak RM379,300 yang telah dikenakan kepada pemilik kenderaan itu.

“Bagi kesalahan memiliki kenderaan klon, pemilik atau pemandu akan dituduh bagi tiga kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987) iaitu Seksyen 7 (1) kerana memiliki kenderaan bermotor yang tidak berdaftar, Seksyen 108 (F) mempamerkan nombor pendaftaran bukan milik kenderaan itu manakala Seksyen 108 (F) iaitu mempamerkan lesen bermotor (LKM) yang bukan kepunyaan pemilik kenderaan tersebut,” katanya.

Jadi, sebelum membuat keputusan untuk membuat sebarang urus niaga korang perlu fahami dulu beberapa perkara penting ini. Antaranya adalah seperti :

Apa itu kereta klon?

Identiti kereta korang mungkin dicuri oleh penjenayah dan digunakan pada kenderaan lain untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Pengklonan kereta juga dibuat oleh mereka yang melakukan kesalahan trafik dan enggan membayar saman.

Bagaimana pengklonan kereta dibuat?

Penjenayah akan memindahkan nombor pendaftaran dan nombor casis palsu, lazimnya daripada kereta yang mengalami kerosakan penuh (total lost) akibat kemalangan, kepada kereta klon.

Hati-hati takut terbeli kereta ‘klon’, media sosial jadi medan pengiklanan!

Iklan

Kereta klon kemudiannya diberikan identiti baharu dengan segala dokumen disediakan seperti cukai jalan dan geran kenderaan untuk urusan jual beli.

Bagaimana nak pastikan jika korang adalah mangsa?

Korang mungkin akan menerima notis saman kesalahan trafik yang korang tidak pernah lakukan.

Korang juga akan diminta memberi keterangan atas ‘pembabitan’ kereta itu dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Hati-hati takut terbeli kereta ‘klon’, media sosial jadi medan pengiklanan!

Iklan

Lebih buruk lagi korang mungkin akan ditahan ketika sekatan jalan raya dan diberitahu bahawa kereta korang adalah kereta klon.

Cara elak jadi mangsa

Ambil tahu perkembangan harga kereta semasa. Jangan beli jika harga yang ditawarkan jauh lebih murah daripada sepatutnya.

Periksa segala dokumen yang diberikan. Lebih baik, bawa ke Jabatan Pengangkutan Jalan dan periksa kesahihannya.

Semoga bermanfaat!