BARU-BARU ini tularnya sebuah video yang memperlihatkan seorang wanita terlepas masuk ke wad pesakit Covid-19 untuk melawat salah seorang ahli keluarganya di sebuah hospital yang terletak di Miri.

Melalui rakaman video tersebut, kelihatan beberapa petugas yang memakai pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) cuba berkomunikasi dan menerangkan polisi hospital.

Video tersebut akhirnya tular di media sosial dan menyebabkan beberapa pihak kurang senang melihat kejadian tersebut sehingga pihak pengurusan hospital akhirnya tampil memberikan keterangan.

Pihak pengurusan Hospital Miri menjelaskan bahawa video seorang wanita yang tular dan enggan meninggalkan pesakit dipercayai ahli keluarganya di wad bersendirian bukan dirakam di wad kuarantin Covid-19 di hospital berkenaan.

Henti sebar video tular! Hospital Miri beri penjelasan kes wanita terlepas masuk ke wad pesakit Covid-19

Hospital Miri dalam satu kenyataan menjelaskan kejadian itu berlaku apabila wanita berkenaan gagal bekerjasama dan mematuhi polisi pihak pengurusan hospital.

“Semasa kejadian, kakitangan hospital telah merakam video dengan tujuan untuk memberitahu dan meminta bantuan daripada ketua jabatan masing-masing dan rakan-rakan lain.

“Ingin juga dijelaskan bahawa ketika rakaman itu diambil ia bukan berada di wad kuarantin pesakit Covid-19 seperti yang tular di media sosial,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, insiden tersebut juga telah selesai dengan bantuan dari pihak polis.

Iklan

Pihak pengurusan Hospital Miri juga berharap orang ramai berhenti menyebarkan video tersebut dan tidak membuat pelbagai andaian lagi selepas ini.

Selain itu wanita berkenaan turut menjalani sesi kaunseling dan mendedahkan mengalami tekanan perasan dan stress serta bimbang akan keadaan pesakit.

Iklan

Terdahulu, Hospital Miri dalam kenyataan menegaskan pihak hospital tidak membenarkan para pelawat untuk masuk ke wad di Hospital Miri berkuat kuasa serta-merta ekoran peningkatan kes jangkitan tempatan Covid-19 di bahagian itu sejak kebelakangan ini.

Malah, seorang pesakit hanya dibenarkan dijaga oleh satu penjaga tetapi keberadaan penjaga tersebut di wad tertakluk kepada budi bicara pengurusan wad terlibat.