ADAKAH anda mengalami masalah lingkaran gelap di bawah mata? Mungkin disebabkan kurang tidur, terlebih tidur, alahan hidung atau lain-lain? Ia akan membuatkan wajah kurang berseri.

Berikut merupakan tips yang boleh anda cuba untuk menghilangkan masalah lingkaran gelap di bawah mata.

1.Tomato

Tomato adalah satu bahan yang sangat bagus untuk menyingkirkan lingkaran gelap kerana kandungan semula jadinya yang kaya dengan pelbagai vitamin. Ia mampu mengurangkan lingkaran gelap di samping menjadikan kulit anda lembut dan sihat.

Apa yang perlu anda lakukan adalah campurkan jus tomato dengan jus lemon dan sapukan campuran ini di kawasan yang bermasalah. Biarkan selama 10 minit dan bilas dengan air sejuk. Ulangi dua kali sehari selama dua ke tiga minggu.

2.Timun

Kita sering melihat pakar perawatan wajah meletakkan hirisan timun di bahagian mata ketika melakukan rawatan wajah. Tetapi kerapkah kita mengambil peduli perkara ini dan melakukannya di rumah?

Cara yang paling mudah untuk menghilangkan lingkaran gelap di bawah mata adalah menggunakan berapa hirisan timun yang diletakkan di kelopak.

Caranya, ambil seketul timun yang segar kemudian potong menjadi hirisan-hirisan kecil. Anda perlu sejukkan hirisan timun ini terlebih dahulu selama 30 minit di dalam peti sejuk. Setelah itu, barulah letakkan hirisan tersebut di kelopak mata dan biarkan selama 10-20 minit. Kemudian boleh cuci muka macam biasa.

Anda dapat merasakan kesegaran mata anda serta merta selepas menggunakan hirisan timun tersebut.

3.Gel aloe vera

Aloe vera boleh melegakan dan menghidratkan kulit. Sifat berkhasiatnya mampu mengurangkan pigmentasi di bahagian bawah mata dan membuatkan bahagian kulit yang sensitif pada bahagian tersebut lebih sihat.

Caranya, sapukan gel aloe vera pada bahagian bawah mata dan urut untuk beberapa saat.

Iklan

Biarkan ia selama 10-12 minit. Bersihkan dengan pad kapas yang lembab. Kalau boleh lakukan sekali pada waktu siang dan sekali sebelum tidur.

4.Minyak badam

Ramai tidak tahu yang minyak badam boleh membantu untuk hilangkan lingkaran hitam bawah mata. Ini kerana minyak badam mengandungi vitamin E.

Anda perlu tahu, minyak badam mempunyai dua jenis, ada pahit dan manis. Minyak badam pahit digunakan dalam aromaterapi dan tidak boleh digunakan pada kulit atau di mulut.

Iklan

Jadi gunakan minyak badam yang manis, anda hanya perlu menyapukan sedikit minyak badam ini di sekeliling mata anda pada waktu malam sebelum tidur dan lakukan urutan lembut di sekeliling mata.

Selain daripada tip-tip di atas, apa yang anda boleh amalkan untuk mengurangkan lingkaran gelap bawah mata ialah menjaga rutin pemakanan harian dan pastikan sentiasa mendapat tidur yang cukup.

Kurangkan berjaga sehingga lewat malam sebab mata anda akan jadi letih dan tak bermaya pada keesokan harinya.

PENULIS: NURUL ADRIANA
FOTO: UNSPLASH