SUSULAN kejadian kebakaran di Hospital Sultanah Aminah berlaku kira-kira jam 3 petang semalam, sebilangan pihak meluahkan pelbagai pandangan dan kesedihan.

Sudah tentulah, selain orang ramai yang pernah mendapatkan khidmat di hospital berkenaan, pihak yang terkesan adalah yang berkait rapat dengan kelompok ‘institusi’ kesihatan negara.

Public Health Malaysia (PHM) antaranya adalah yang menyatakan kesedihan.

“Sedih hati kami apabila mendengar HSA terbakar lagi. Kali ini melibatkan wad di bahagian belakang hospital. HSA sememangnya antara satu hospital yang lama.

“Banyak jasanya kepada warga Johor khususnya dan Malaysia amnya,” kongsi PHM yang turut berkongsi semula gambar-gambar sejarah tentang mula wujudnya HSA.

Rupa-rupanya hospital lama itu turut menyimpan sejarah kerabat diraja yang dilahirkan di situ.

Berikut Fast Fact: Sejarah Hospital Sultanah Aminah yang dikongsikan PHM di posting Facebook PHM semalam:

1. Hospital ini telah dibina pada tahun 1938
2. Semasa perang dunia ke-2, hospital ini dijadikan Hospital Tentera
3. Kosnya pembinaan hospital ini adalah RM2,057,075
4. Reka bentuk bangunan ini telah dibuat oleh syarikat arkitek “Palmer and Turner” .
5. Idea reka bentuk hospital ini diperolehi dari sebuah hospital di Nanking, China
6. Bangunan setinggi 5 tingkat ini telah memuatkan 857 buah katil. Ia mempunyai dua sayap (wing) berbentuk “T” mengandungi 80 buah katil dalam tiap-tiap wad.
7. Pembukaan rasmi bangunan ini telah dilakukan pada 29 Mei 1941 oleh DYMM Sultan Ibrahim
8. Pada masa itu, hanya seorang pegawai perubatan bertugas malam bagi seluruh hospital.
9. Selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, nama hospital di tukar kepada Rumah Sakit Umum, Johor Bahru.
10. Pada tahun 1970, nama hospital ditukar kepada Hospital Besar.
11. Pada tahun 1984, sekali lagi nama hospital ini ditukar kepada Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dengan mengambil sempena nama bonda DYMM Sultan Johor
12. Kini, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru memberikan perkhidmatan pelbagai kepakaran
13. Almarhum Tunku Abdul Jalil Ibni Sultan Ibrahim antara kerabat yang pernah menerima rawatan di HSA.
14. YAM Tunku Kalsom Aminah Sofiah Binti Tunku Ismail, puteri pertama TMJ lahir di HSA

Foto-foto bersama kapsyen yang dikongsikan PHM:

Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru merupakan sebuah institusi perubatan yang awal dan moden yang wujud di Negeri Johor. Hospital ini telah dibina pada tahun 1938 yang telah menggantikan hospital lama yang telah dibina pada tahun 1882.

Hospital Sultanah Aminah yang sepatutnya dirasmikan oleh DYMM Sultan Sir Ibrahim ibni Al Marhum Sultan Sir Abu Bakar pada 29 Mei 1941 terpaksa ditangguhkan kerana Perang Dunia Ke-2.Hospital awam telah dipindahkan ke Hospital Sakit Jiwa di Tampoi, pada awal tahun 1942. Tidak lama selepas itu, Hospital Sakit Jiwa juga telah diambil alih oleh tentera Jepun bagi menempatkan anggotanya, Hospital awam juga telah dipindahkan ke “Labour Lines” Tebrau Estate. Oleh kerana Labour Lines ini mendatangkan pelbagai masalah, hospital awam kemudiannya dipindahkan ke sebuah bangunan kecil di kaki Bukit Timbalan.

Pada masa perang dunia kedua, kebanyakan pesakit yang dirawat di Hospital Besar, Johor Bahru adalah anggota tentera dan orang awam yang tercedera. Apabila keadaan peperangan bertambah buruk dan jumlah kemalangan meningkat, hospital ini telah dijadikan hospital tentera.

Pada masa perang dunia kedua, kebanyakan pesakit yang dirawat di Hospital Besar, Johor Bahru adalah anggota tentera dan orang awam yang tercedera. Apabila keadaan peperangan bertambah buruk dan jumlah kemalangan meningkat, hospital ini telah dijadikan hospital tentera.
Dalam kenangan mangsa Perang Dunia Ke-2.

Gambar dari udara.

Kakitangan awam mengambil alih pentadbiran hospital ini pada 1 April, 1946. Pada masa itu Dr JMA Lowson dilantik sebagai PMO dan timbalannya Dr J C P Grey. Pada masa itu kekurangan kakitangan awam ketara sekali yang mana di wad lelaki hanya Dresser sahaja yang bertugas. Seorang Dresser Tingkatan Khas ditugaskan menyelia sebuah wad. Dalam sehari, seorang Dresser Gred 1 bertugas waktu pejabat, seorang Dresser Gred II dan seorang Gred III bertugas pagi, seorang Dresser Gred II dan seorang Gred III bertugas petang dan seorang Dresser Gred III bersama seorang Probationer Dresser bertugas malam. Keadaan ini berlanjutan sehinggalah bulan September, 1947 bila mana kumpulan Dresser Pelatih yang pertama selepas perang lulus dan mula menjalankan tugas. Jumlah pesakit yang dirawat sepanjang tahun 1947 ialah seramai 9,069 orang. Di Johor Bahru pada masa itu terdapat dua buah klinik swasta.

Iklan
HSA kini. Tidak banyak berubah selepas 1990.
Almarhum Tunku Abdul Jalil Ibni Sultan Ibrahim antara kerabat yang pernah menerima rawatan di HSA.
YAM Tunku Kalsom Aminah Sofiah Binti Tunku Ismail, puteri pertama TMJ lahir di HSA

 

Sultan Ibrahim berkenan biayai kos baik pulih

Dalam pada itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan untuk membiayai kos membaik pulih Wad Perubatan Perempuan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru yang terbakar, petang semalam.

Baginda bertitah akan melantik kontraktor bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dapat dijalankan segera dengan kos pembaikan ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Iklan

“Saya mahukan Pengarah Jabatan Kerja Raya, Pengarah Kesihatan Johor serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor bersama-sama membincangkan segera pelan pembaikan yang akan dilakukan oleh kontraktor.

“Selalunya, kos pembaikan jika dilakukan kerajaan akan mengambil sedikit masa kerana terdapat sistem yang perlu dilalui dan saya tidak salahkan kerajaan, oleh demikian saya mahukan kerja-kerja pembaikan dilakukan segera,” titahnya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi baginda, hari ini, lapor Bernama.

Semalam, rakyat Johor dikejutkan lagi dengan insiden kebakaran di Hospital Sultan Aminah (HSA). Namun, kali ini melibatkan Wad Perubatan Perempuan 1 yang terletak tidak jauh dari Klinik Kesihatan Mahmoodiah.

Kejadian bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kematian kerana kesemua 24 pesakit yang berada di wad berkenaan, berjaya diselamatkan.

Sebelum ini, HSA pernah mengalami kebakaran iaitu pada Oktober 2016 melibatkan tingkat dua unit rawatan rapi (ICU) selatan yang mengakibatkan enam pesakit maut. #janganputusasamalaysia