SEJAK semalam tular menerusi laman sosial baik Facebook, Twitter mahupun Instagram mengenai saranan pengamal perubatan yang menasihatkan rakyat Malaysia kekal berada di rumah masing-masing.

Nasihat itu disampaikan menerusi kepingan kertas tertera ayat, ‘I Stay At Work For You, You Stay At Home For Us’ beserta hashtag #stayathome dan #dudukrumah.

Biarpun perkongsian tersebut kelihatan bersahaja, tetapi ia sarat mesej tersirat. 

Dalam bahasa mudah kumpulan doktor dan jururawat berharap agar orang awam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan kerajaan antara 18 hingga 31 Mac ini.

Langkah tersebut adalah untuk menangani penularan wabak coranavirus (Covid-19).

Nasihat pasukan perubatan ini perlu diikuti. Sekiranya jumlah pesakit Covid-19 terus bertambah, maka tugasan mereka harus dipertingkatkan. Walhal, situasi ini dapat diatasi hanya jika semua pihak memberikan kerjasama.

Seorang kakitangan perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Nasrul Naeem, telah berkongsi pengalaman mengendalikan kes Covid-19 menerusi laman sosial Facebook peribadinya.

covid 19
KEPINGAN foto dan situasi mengendalikan kes Covid-19 yang dikongsikan pemilik akaun Facebook, Nasrul Naeem.

Menurut beliau, setakat 16 Mac lalu kakitangan di hospital berkenaan komited menjalankan tugas dalam tempoh 48 jam tanpa henti.

Iklan

“What really happen in HKL? This is real…Work for 48 hours non stop.

“Sehingga kini (16 Mac 2020) seramai tiga pesakit menjalani prosedur intubasi dan sudah dihantar ke Hospital Sungai Buloh,” katanya menerusi perkongsian Facebook.

Iklan

Tambah Nasrul, bukan tugas mudah untuk memindahkan pesakit wabak berkenaan kerana ia memerlukan pengangkutan dengan perlindungan penuh.

Justeru, Sinar Plus berharap rakyat Malaysia bertimbang rasa. Kita meringankan kerja orang lain, insya-ALLAH kerja kita akan dipermudahkan kelak. Terima kasih pasukan perubatan.