SUNTIKAN vaksin Covid-19 yang dilancarkan di seluruh dunia bukan hanya mencegah gejala dan virus itu sendiri, malah membantu melambatkan penyebaran patogen dan mempercepatkan keadaan kembali normal.

Imuniti kelompok juga dapat dicapai apabila 80 peratus rakyat di sesebuah negara termasuk Malaysia memperoleh pertahanan terhadap virus melalui vaksinasi.

Justeru, mengambil kira kondisi pelbagai lapisan umur dan kategori individu di negara ini, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memaklumkan wanita hamil dan masih menyusu badan segera mengemaskini status MySejahtera masing-masing.

“Jika anda ibu mengandung atau sedang menyusu, kini boleh mengemaskini status di MySejahtera.

“Janji temu vaksinasi akan diberikan berdasarkan jenis vaksin yang sesuai untuk anda,” tulis JKJAV menerusi laman sosial Twitter baru-baru ini.

Dalam ciapan tersebut pihak JKJAV juga memberitahu bahawa bagi mereka yang bukan pengguna MySejahtera sila hubungi talian hotline.

 

Rata-rata warganet menyambut baik langkah kerajaan tersebut.
Bagaimanapun, terdapat majoriti ibu hamil dan ahli keluarga mengutarakan soalan cara untuk membatalkan janji temu vaksin keluaran Astrazeneca yang telah diperoleh.

Ini termasuklah, cara-cara untuk memasukkan info kehamilan dan penyusuan bagi janji temu Astrazeneca.

Iklan

Sebelum ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dalam kenyataannya berkata, ibu mengandung dan menyusukan anak hanya disarankan mengambil vaksin Covid-19 19 keluaran Pfizer.

“Berdasarkan nasihat pakar Kementerian Kesihatan (KKM), vaksin Pfizer sesuai untuk ibu mengandung dengan usia kandungan antara 14 hingga 33 minggu atau disyorkan ditangguh sehingga selepas kehamilan,” kata Khairy kepada portal berita tempatan.

Iklan

Katanya, kedua-dua kumpulan itu tidak disarankan untuk menerima vaksin Sinovac dan AstraZeneca kerana data keberkesanan dan kesan sampingan dua vaksin terbabit tidak mencukupi ketika itu.

Sumber: JKJAV