AKHIRNYA identiti makcik  ‘gelang pink’ iaitu gelang pengesanan kuarantin Covid-19, ketika makan di sebuah restoran yang tular menerusi media sosial sejak semalam, sudah dikenal pasti.

Siasatan terhadap wanita terbabit berhubung tindakannya itu sedang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKNP).

Memetik laporan media tempatan, JKNP telah mengenal pasti individu yang gagal mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) serta restoran yang dikunjunginya di bandar Meru Raya, Perak, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, pihak JKN Perak bagaimanapun masih lagi mengumpul maklumat terperinci berhubung insiden itu yang tular di media sosial sejak semalam.

“Saya nasihatkan orang ramai yang pernah makan di kafe itu mengambil langkah berjaga-jaga dan sekiranya bimbang mereka boleh membuat ujian Covid-19 atau menjalankan kuarantin di rumah jika bergejala,” katanya

Semalam, tular di media sosial seorang wanita yang memakai tag berwarna merah jambu menunjukkan masih dalam tempoh kuarantin di rumah, makan di sebuah kedai di bandar Meru Raya sehingga mendapat kritikan masyarakat.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, pihaknya telah melakukan operasi sanitasi nyahcemar kuman di premis terlibat dan beberapa kedai dalam deretan sama.

Katanya, operasi selama satu jam setengah yang bermula pada 2.30 petang itu melibatkan seramai enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru.

“Fokus operasi sanitasi nyahcemar kuman adalah di tempat-tempat yang melibatkan banyak sentuhan seperti meja dan kerusi,” katanya.

Menurut sumber, wanita berusia 72 tahun itu diarahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4 Julai lalu.

“Saringan pertama yang dijalankan mendapati wanita tersebut negatif, namun dipakaikan gelang tersebut serta diperintahkan menjalani kuarantin.

“Kejadian itu pula berlaku di sebuah kafe pada 6 Julai lalu bersama keluarganya setelah tiba dari Selangor untuk sarapan sebelum menjalani kuarantin di rumahnya sedangkan gambar itu tular kelmarin,” katanya.

Iklan

Menurutnya, saringan kedua selepas 13 hari menjalani kuarantin mendapati wanita tersebut positif dan telah dimasukkan ke hospital sejak 17 Julai lalu.

“Wanita itu kini masih dalam rawatan Covid-19 di hospital terbabit bersama anak lelakinya setelah ujian kali kedua didapati positif.

“Berdasarkan penjelasan daripada pihak kesihatan, volume (kandungan) virus adalah kurang dan risiko menjangkiti juga kurang,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan perkara itu setelah siasatan dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jadi, hati-hati kome!