TERDAHULU, bekas Perdana Menteri, Najib Razak mempersoalkan keputusan kerajaan apabila membenarkan perniagaan besar seperti gedung perabot IKEA dan rangkaian kedai emas Habib Jewels beroperasi semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, tetapi peniaga kecil tidak dibenarkan berbuat demikian.

Najib berkata, kerajaan perlu adil kepada semua pihak, serta mempersoalkan apakah gedung perabot itu termasuk dalam perkhidmatan perlu (essential service), ketika ramai peniaga kecil lain tidak dibenarkan berniaga.

Maka minggu lalu ramai pengunjung dilihat membanjiri gedung perabut tersebut dan kanak-kanak serta warga emas juga dibenarkan berkunjung walaupun ia tidak digalakkan.

Akibatnya, IKEA cawangan Cheras terpaksa menghentikan sementara operasinya semalam susulan terdapat kes positif Covid-19 melibatkan seorang pengawal keselamatan yang bertugas di pusat pemborong perabot itu.

IKEA Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, pengawal keselamatan itu kali terakhir bertugas pada Sabtu lalu.

Menurut kenyataan itu, semua pengawal keselamatan kini sedang menjalani kuarantin sendiri sementara menunggu arahan selanjutnya daripada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

“Kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan kakitangan, pelanggan, rakan kongsi dan komuniti menjadi keutamaan kami.

“Oleh itu, kami mengambil langkah pencegahan dengan menutup cawangan kami di Cheras pada 25 Januari (Isnin) untuk melaksanakan kerja sanitasi dan pengesanan kontak mengikut garis panduan KKM,” katanya dalam dikemas kini di Facebook IKEA.

Sementara itu pekerja yang menjadi kontak rapat pesakit juga telah diarahkan menjalani kuarantin kendiri dan ujian saringan Covid-19.

Perkara itu juga kini tular di Twitter apabila kenyataan itu di ulang kicau oleh salah seorang pengguna laman sosial tersebut sehingga menjadi topik hangat bahan bualan mereka.

Iklan

Menjengah ke ruangaan komen ada juga komen nakal yang berkata, “Tak mengapa cawangan Damansara ada lagi”.

“Ini semua pancing suruh beli online la ni.. aduh jem lagi la J&T,” kata salah seorang pengguna Twitter.

Iklan

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu lagi, pelanggan yang mempunyai sebarang pertanyaan atau ingin mendapat maklumat lanjut boleh menghubungi Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC)KKM, 03-8881 0200/0600/0700.

Pihak IKEA juga melaporkan akan mengikuti segala saranan yang diarahkan oleh pihak berwajib.

“Kami akan terus ikuti langkah keselamatan yang perlu termasuk penggantian pekerja berkaitan, pengesanan kontak, ujian swab, kuarantin kontak rapat dan sanitasi,” tambah kenyataan itu lagi.