BARU-baru ini tular tentang kisah seorang isteri menyediakan ‘lunch box’ untuk suami menjadi ‘bahan’ tawa rakan-rakan suaminya.

Cerita itu dikongsi menerusi sosial media, Facebook oleh seorang wanita @Zharra Aura di dalam Kumpulan Masak Apa Tak Jadi Hari Ni.

Menurut Zharra, suaminya berpesan untuk tidak menyediakan bekal di dalam bekas kerana rakan sepejabat mulai menyakat.

Rentetan itu, wanita berkenaan pun menyediakan bekal ala-ala beli di kedai makan.

Baca juga: Isteri bijak ‘bantu’ suami malu bawa bekal, tapau macam kedai

Mentertawakan seseorang yang membawa makanan dari rumah tidak sepatutnya berlaku sebaliknya jadikan ia sebagai satu amalan yang wajar dicontohi.

Keadaan ekonomi serta inflasi kini amat sesuai untuk jadikan perbuatan ini sebagai satu rutin wajib untuk mengurangkan kos perbelanjaan harian.

Berikut tujuh kelebihan bawa bekal makanan dari rumah, ini yang perlu diketahui:

1. Menambah pengetahuan tentang makanan.

Membawa bekal bukanlah sekadar untuk perut kenyang tetapi ia juga meningkatkan pengetahuan tentang nutrien yang terkandung di dalam masakan yang disediakan.

Bahkan, ia juga meningkatkan kreativiti memasak dengan menggabungkan semua bahan-bahan yang sihat dan berkualiti untuk menghasilkan rasa yang menggiurkan.

2. Dapat menjimatkan wang perbelanjaan harian.

Menyediakan bekalan dan membawanya ke tempat kerja sememangnya dapat menjimatkan wang perbelanjaan harian berbanding mereka yang terpaksa mengeluarkan sejumlah wang untuk membeli makanan.

3. Meningkatkan kebersihan.

Manfaat seterusnya adalah kebersihan makanan tidak perlu diragui kerana bahan-bahan yang digunakan serta cara penyediaan makanan dibuat sendiri.

Sudah semestinya proses pembuatannya dijamin bersih untuk dimakan.

4. Mencegah alahan dan sensitiviti makanan.

Mereka yang membawa bekal dari rumah sudah semestinya terhindar daripada sebarang alahan kerana amat mustahil untuk menyediakan makanan yang mengandungi bahan yang mendatangkan alergi pada tubuh.

Risiko alergi akan meningkat sekiranya makan makanan yang dibeli kerana bahan-bahan yang digunakan tidak dapat dipastikan.

Baca juga: Hilang kerja sejak PKP, lelaki ini terus bangkit dan kini buat ‘lunch box’

Iklan

5. Meningkatkan keselamatan makanan.

Centers for Disease Control and Prevention ada menjelaskan bahawa setiap tahun, satu hingga enam orang warga Amerika menghidap penyakit bawaan makanan atau keracunan makanan.

Masalah ini dapat dielak dengan membawa bekal dari rumah kerana segala bahan-bahan yang digunakan dapat dijamin kebersihannya.

6. Menghargai makanan.

Menyediakan bekalan sendiri akan melahirkan satu perasaan untuk menghargai makanan yang dimasak, bahkan ia juga akan membuatkan diri kita peka terhadap corak pemakanan yang diamalkan.

7. Menguatkan ikatan kekeluargaan.

Iklan

Tanpa disedari aktiviti memasak bersama suami isteri dan anak-anak sebenarnya mampu menguatkan ikatan kekeluargaan.

Bukan itu sahaja, terdapat satu kajian yang dijalankan oleh University Michigan, menerangkan peningkatan kebersamaan bersama keluarga akan dapat mengurangkan masalah psikologi dan akademik anak-anak.

Justeru, membawa ‘lunch box’ dari rumah tidak seharusnya dijadikan satu jenaka sebaliknya jadikan ia amalan yang wajar dicontohi.

Sumber: drhealthbenefits

Baca juga: 7 idea bento dicadangkan Alce Nero untuk mak ayah sediakan untuk bekal anak kecil ke sekolah

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI