Tangani anak terlalu pemalu, ini langkah awal yang tak boleh diabaikan. Bantu sebelum terlambat!

No Image Caption
A
A
A

SETIAP anak memiliki ciri-ciri personaliti tersendiri. Bila ada lebih dari seorang anak, bukan semuanya sama perangai sebab tu ibu bapa pening kepala nak hadap perbezaan tingkah laku anak-anak. Ada yang cakap, anak kedua luar biasa tetapi ada juga yang cakap anak ketiga yang susah nak faham apa kehendaknya.

Seorang pendengar radio Zayan berkongsi tentang kerisauannya berkenaan personaliti anak sulungnya yang berusia lima tahun. Anak tersebut terlalu pemalu untuk melakukan sebarang aktiviti sehingga terpaksa dipujuk berkali-kali untuk hadir ke sekolah. Manakala di sekolah pula, anak ini terlalu malu untuk bersosial dengan rakan-rakan malah waktu mengaji dan membaca pun terlalu perlahan sehingga ditegur oleh gurunya.

Perkara ini mendapat perhatian Dr. Putri Afzan Maria Zulkifli selaku Pegamal Pendidikan Awal, Pembangunan Emosi dan Kesihatan Mental Kanak-Kanak yang menjelaskan anak kecil seperti ini nampak seperti pemalu tetapi sebenarnya bukan.

No Image Caption

Mereka lebih kepada tidak berasa yakin dengan keadaan sekeliling. Mereka rasa tidak selamat mahu pun rasa janggal dengan apa yang ada di depan mata. Persekitaran yang baru juga boleh membuatkan anak-anak ini malu untuk ke hadapan.

“Anak-anak yang masih kecil dan bersekolah di tadika perlu rasa selesa dengan cara guru-guru perlu mengambil hati mereka, mendekatkan diri dan bersikap mesra sehingga mereka rasa berada dalam keadaan selamat.”

“Guru-guru perlu mewujudkan hubungan yang baik dengan anak-anak terlebih dahulu sebelum ke peringkat seterusnya. Kebiasaannya ia mengambil masa tiga bulan untuk anak-anak kecil menyesuaikan diri," ujarnya.

Bukan sahaja kepada guru-guru malah ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang lebih berat bagi memastikan masalah ini tidak berterusan. Bagi memudahkan anak-anak faham tentang perasaan mereka yang perlu diubah itu, ibu bapa perlu menjadi contoh terbaik bagi anak-anak.

No Image Caption

Sebagai contoh, ibu bapa berjumpa rakan-rakan sebaya dan berborak di hadapan anak-anak. Keesokan hari boleh bertanya pada anak, “esok mama nak jumpa kawan. Rasa-rasanya apa mama nak cakap dengan kawan mama? Lily ada idea tak?”

Beritahu pada anak-anak untuk menyuarakan pendapatnya. Tidak mengapa salah yang penting mereka perlu berani untuk bersuara. Kena ajar kepada mereka semua orang buat kesilapan tetapi ibu bapa perlu menyokong dan membetulkan kesalahan yang dibuat.

Untuk pengetahuan semua, anak-anak yang pemalu ini mempunyai pemerhatian yang sangat tinggi dan ianya bagus untuk perkembangan mereka. Cumanya jika tidak diajar dan dibimbing untuk keluar dari sifat pemalu ini ditakuti anak-anak ini mudah untuk mendapat anxiety.

No Image Caption

Di sebalik malu itu sebenarnya dia takut dan ada bercampur-campur perasaan. Sebab itu bila mereka terlebih berfikir dan terlalu takut kerana tidak dapat meluahkan apa yang terbuku di hati, bimbang ia akan membawa kepada tekanan.

Oleh itu, jika ibu bapa nampak perubahan pada perangai anak-anak, segera bawa mereka berjumpa dengan pakar untuk kepastian. Jangan biarkan ianya berlanjutan sehingga mengganggu emosi anak.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang