SEJAK pandemik Covid-19 melanda dunia yang menyebabkan pintu sempadan negara juga ditutup sehingga kini menyebabkan berita perkembangan untuk menunaikan ibadah haji sering ditunggu-tunggu.

Orang ramai kini berteka-teki dan tertanya-tanya adakah tahun hadapan mereka yang sepatutnya di jadualkan untuk berangkat ke Makkah dapat berbuat demikian atau sebaliknya.

Oleh demikian, Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman menegaskan, sebarang butiran pelaksanaan ibadah haji bagi umat Islam Malaysia tahun hadapan masih belum diputuskan sehingga ke hari ini.

Sehubungan itu Syed Saleh meminta orang ramai, supaya tidak terpengaruh dengan mana-mana maklumat berkaitan pelaksanaan ibadat haji 2021M/1442H yang tular di media sosial, sejak beberapa hari yang lalu.

“Pihak kami masih belum menerima sebarang makluman rasmi berkaitan dengan urusan ibadat haji untuk tahun 2021M/1442H, dari pihak berkuasa Arab Saudi.

“YB Menteri (Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri) dan pengurusan kanan TH dijangka akan mengadakan mesyuarat dengan Menteri Haji Arab Saudi dan Menteri Agama Arab Saudi pada awal tahun hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

TH juga akan mengumumkan keputusan perbincangan dan kesepakatan yang akan diambil oleh pemimpin kedua-dua negara, berkaitan dengan isu berkenaan apabila mendapat kata putus.

Terdahulu mesej dipercayai tular selepas Muzakarah Haji yang telah diadakan secara dalam talian (Webinar) selama tiga hari bermula 21 Disember lalu.

Mesej yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp itu mengandungi butiran haji tahun hadapan termasuk jadual penerbangan, tarikh wukuf, kuota jemaah, kos haji yang didakwa meningkat, serta prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diikuti kerana penularan Covid-19.

Iklan

TH juga menegaskan supaya orang ramai berwaspada dan merujuk hanya kepada TH bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan rasmi berkenaan ibadah haji bagi tahun hadapan.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan (THCC) TH di 03-62071919.

Iklan

Berikutan penularan pandemik Covid-19, kerajaan sebelum ini memutuskan ibadat haji tahun ini ditangguh ke tahun hadapan.