BAGI mengelakkan rantaian jangkitan wabak Covid-19 terus menular, kerajaan telah mengambil langkah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu yang berkuat kuasa 18 Mac lalu dan sepatutnya berakhir hari ini.

Namun, PKP dilanjutkan sehingga 14 April 2020 ini kerana angka bilangan kematian dan pesakit yang positif dijangkiti masih tinggi.

PKP mengakibatkan orang ramai perlu mengehadkan aktiviti mereka di luar dan kebanyakkan masa berada di rumah.

Doktor Perubatan juga Pengacara untuk program Sihat Dan Rawat RTM, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum atau dikenali sebagai Dr Che Hafiz berkata, perkara seperti ini secara tidak langsung sedikit sebanyak akan memberi kesan pada perasaan dan emosi seseorang.

Masakan tidak, mesti seseorang itu akan berasa sedih mendengan berita kematian yang dilaporkan media apatah lagi apabila mendengar berita perlanjutan perintah kawalan pergerakan yang secara tidak langsung mampu menghadirkan 1001 persoalan di minda orang ramai.

Maklum sahajalah selama ini orang ramai sudah biasa melakukan kerja dan aktiviti luar dari rumah tiba-tiba kena berhenti dan duduk di rumah begitu sahaja.

Jika tidak dikawal dengan baik, emosi seperti ini lama kelamaan boleh menjejaskan kesihatan mental seseorang.

Bermula dengan perasaan risau seperti contoh mendengar berita tentang pertambahan kematian pesakit positif covid-19.

Jadi perasaan risau ini lama-kelamaan jika tidak dibendung pada peringkat awal ia boleh bertukar menjadi perasaan sedih sehingga juga boleh mengakibatkan kesihatan mental akan terjejas.

Seperti kesihatan fizikal, kesihatan mental juga perlu dijaga, untuk menjamin kesejahteraan pada masa depan.

Jadi berikut adalah antara tip yang anda boleh lakukan demi kesihatan mental sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan yang dikongsi sendiri oleh Dr Che Hafiz.

1. Kenal pasti berita yang sahih

Pastikan diri anda sentiasa mendapat maklumat yang sahih seperti sumber-sumber daripada Kementerian Kesihatan Malaysia juga majlis keselamatan negara.

Jika anda mendapat maklumat yang palsu atau tidak benar boleh membuatkan seseorang itu bertambah lebih cemas dan risau atau tidak keruan.

2. Buat panggilan telefon eratkan hubungan

Mungkin sebelum ini anda terlalu sibuk dengan kerja dan tiada masa. Jadi rebutlah peluang yang ada ini dengan selalu bertanya khabar ahli keluarga walaupun melalui telefon kerana tidak dapat balik ke kampung sepanjang PKP.

Di situ juga anda boleh meluahkan perasaan kepada orang yang sepatutnya iaitu ahli keluarga seperti ibu, ayah dan adik-beradik serta kawan rapat jika lebih selesa.

3. Pilih pemakanan yang sihat dan seimbang. 

Dengan mengikut kaedah pemakanan yang betul bukan sahaja dapat meningkatkan kesihatan tubuh badan malah juga memberi kesan yang baik kepada kesihatan mental seperti pengambilan asid lemak Omega-3.

4. Dapatkan tidur yang cukup dan berkualiti.  

Iklan

Anda perlu tidur sekurang-kurangnya enam hingga lapan jam sehari. Ambil ah peluang yang ada untuk betul-betul rehatkan badan dan minda anda.

5. Kerap melakukan senaman. 

Walaupun PKP sedang dijalankan tidak bermakna anda tidak boleh bersenam.

Pilih jenis senaman yang lebih sesuai dan boleh dilakukan di rumah. Apa-apa pun yang paling penting anda enjoy lakukan senaman tersebut.

6. Berfikiran positif

Inilah masa untuk melatih diri anda sentiasa berfikiran positif. Elakkan daripada membaca atau mendengar akan perkara yang memberikan kesan negatif kepada emosi.

Ia adalah satu perkara yang mencabar tetapi tidak mustahil dan anda boleh tanya kepada diri anda bila lagi kalau bukan sekarang untuk menjadi seorang yang sentiasa berfikiran positif.

Iklan

7. Lakukan aktiviti berfaedah

Selain itu, bagi mengelak perasaan risau dan sedih menguasai diri terhadap apa yang telah melanda negara kita, maka isilah masa lapang yang ada ini dengan melakukan aktiviti atau hobi berfaedah yang boleh dilakukan dalam rumah.

Antara yang boleh anda lakukan adalah seperti melukis, memasak, menulis novel, bermain alat muzik, membaca buku, mendengar lagu yang tenang dan bagi mereka yang beragama Islam anda boleh membaca al-Quran atau rajin lakukan solat sunat.

Semoga tip-tip yang telah dikongsikan dapat kita manfaatkan bersama agar kesihatan mental tidak terjejas.

Diharap kita akan menjadi seorang yang lebih ceria serta semangat apabila mula sambung kerja pada hari pertama nanti setelah  tamat tempoh PKP.

Jadi sama-samalah berdoa agar ujian berat yang melanda negara kita ini iaitu penularan wabak covid-19 akan berakhir.