TIDAK keterlaluan jika dikatakan pandemik Covid-19 yang kini melanda dunia telah melumpuhkan banyak industri di seluruh dunia termasuk sukan bola sepak Malaysia.

Susulan keputusan kerajaan yang masih menutup pintu sempadan negara, nampaknya nasib pemain-pemain bola sepak tempatan makin menipis.

Seperti Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), mereka baru-baru ini mendapat arahan bahawa tidak dibenarkan menyertai saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 yang sepatutnya berlangsung di Doha, Qatar seperti yang telah dijadualkan.

Memetik laporan portal media tempatan, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan SOP itu tidak membenarkan rakyat ke luar negara serta kemasukan warga asing ketika ini termasuklah pasukan bola sepak.

“Pertama sekali kami tidak benarkan atas alasan ia adalah kerana tertakluk kepada dasar sempadan negara ditutup iaitu rakyat kita tidak dibenarkan ke luar negara.

“Jadi dalam kes bola sepak, kami juga tidak benarkan untuk menjamin keselamatan pemain-pemain kalau mereka ke luar negara kerana kami tidak tahu bagaimana SOP ditetapkan di sesebuah negara,” katanya.

Pengarah Teknikal JDT Alistair Edwards pula berkata, pasukan itu akur apabila tidak dibenarkan untuk terbang ke Doha, Qatar.

JDT tidak dibenarkan terbang ke Qatar, nasib pemain bola tempatan kini dicengkam kebimbangan

“Walaupun kami sangat kecewa tidak dapat mengambil bahagian dalam kejohanan tertinggi kelab peringkat Asia dan juga Piala Malaysia, kami menghormati keputusan kerajaan Malaysia dan memahami tindakan terpaksa diambil atas faktor keselamatan disebabkan peningkatan kes pandemik COVID-19,” tulisnya menerusi satu hantaran di laman Facebook Johor Southern Tigers.

Liga Juara-Juara AFC 2020 Zon Timur dijadualkan berlangsung dari 18 November hingga 13 Disember dan JDT sebagai juara Liga Super 2020 dijangka meneruskan kempennya dalam saingan Kumpulan G.

JDT tidak dibenarkan terbang ke Qatar, nasib pemain bola tempatan kini dicengkam kebimbangan

Semua perlawanan itu akan berlangsung di Doha, Qatar.

Skuad bimbingan Benjamin Mora itu akan menentang kelab dari China, Guangzhou Evergrande pada 19 November; Suwon Samsung Bluewings dari Korea Selatan (25 November); pasukan Jepun Vissel Kobe (1 Disember); sebelum menamatkan perlawanan pusingan awal, sekali lagi menentang Guangzhou Evergrande pada 4 Disember.

Iklan

Sementara itu beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga-M) juga mula dicengkam kebimbangan disebabkan kantung mereka yang semakin menipis dari hari ke hari.

Mana tidaknya, perlawanan-perlawanan Liga-M terpaksa ditangguhkan sejak 16 Mac lalu, dua hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ketiadaan sumber kewangan yang kukuh menyebabkan ada pasukan yang terpaksa memotong gaji pemain dan pegawai pasukan masing-masing.

Iklan

Malah, lebih buruk ada pemain dan pegawai pasukan juga perlah dilaporkan media tidak menerima gaji sejak beberapa bulan lalu.

Hakikatnya, kita sedang bergelut dengan cabaran yang tidak pernah dialami oleh sesiapa sahaja. Bukan hanya di Malaysia, bahkan seluruh industri bola sepak dunia turut menghadapi kemelut sama.

Normal baharu seperti penjarakkan sosial, penjagaan kebersihan diri dan tidak bersesak dalam kawasan kecil harus menjadi kebiasaan kepada kita semua dan semua pihak perlu akur.