Jual PerantiSiswa alasan ada tablet lain, siswa tak kenang jasa 'curi' hak mereka yang memerlukan
MENJUAL PerantiSiswa yang diberikan kerajaan dengan alasan sudah mempunyai peranti tablet Ipad adalah antara alasan segelintir mahasiswa mengambil kesempatan mendapatkan ‘duit tepi’ dengan menjual semula peranti siswa diperolehi di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia.
Hal berkenaan tular di media sosial selepas mahasiswa menjual PerantiSiswa jenis Samsung Galaxy Tab A8 LTE bersama beberapa aksesori yang diperoleh dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran.
Melalui hantaran yang dikongsi oleh pengguna Facebook, Khairul Azri yang kesal dan marah kerana terdapat segelintir mahasiswa menyalahgunakan bantuan tersebut untuk kepentingan peribadi.
Jelas lelaki ini peranti siswa tersebut dijual dengan harga RM800 hingga RM900. Kotak pun masih belum dibuka lagi. Alasan yang diberikan kononnya mereka sudah ada peranti yang lain. Ujar beliau lagi jika sudah berkemampuan mengapa memohon bantuan peranti daripada kerajaan.
“Barang dapat RM1299 (peranti) + RM209 (book cover) RM179 (keyboard) +R M99(stylus). Tidak perlu tulis pun orang sudah tahu ‘barang kerajaan’ kerana Samsung Malaysia Official tidak dijual 64 gb punya varian.
“Ramai lagi anak-anak kampung yang memerlukan bantuan peranti ini daripada pihak kerajaan. Mengapa mesti merampas hak orang-orang yang lebih memerlukan. Apabila sudah dapat, dijual pula, Sungguh tidak bertanggungjawab,” jelas lelaki ini lagi.
Dalam pada itu, guru yang terkenal dengan sikap lantang menyuarakan pendapat dan teguran pelbagai isu terutama berkaitan sistem Pendidikan, Cikgu Mohd Fadli Salleh turut terpanggil menyuarakan ketidakpuasan hatinya.
Melalui perkongsian pendidik, Cikgu Mohd Fadli Salleh di laman sosial Facebook, guru ini mengakui berasa geram dengan tindakan segelintir mahasiswa yang tidak bertanggungjawab.
Menjual semula peranti siswa yang diterima daripada kerajaan secara percuma merupakan perbuatan yang tidak boleh dimaafkan.
Cikgu Mohd Fadli juga kesal dan menyifatkan tindakan mahasiswa berkenaan tidak mengenang jasa.
Mereka mengambil kesempatan memohon walaupun tidak layak hingga sanggup menipu untuk mendapatkan peranti tersebut. Apabila sudah dapat barang, mereka jual semula dengan harga yang murah. Walahal antara syarat utama penerima peranti berkenaan adalah tidak boleh dijual.
“Alasan paling sakit hati, sudah ada Ipad dan tidak menggunakan langsung peranti yang diberi. Mengapa mohon peranti itu jika sudah ada peranti yang lain? Kalau semasa belajar pun tiada integriti, tidak amanah dan tidak jujur, bagaimana agaknya jika golongan ini bekerja dan memerintah kerajaan pada masa akan datang?
“Orang lain yang benar-benar memerlukan ada lagi yang tidak dapat, mereka yang menipu data, yang tidak jujur pula yang menerima dan langsung tidak hargai. Belajar untuk amanah dan jujur. Terap dalam diri sikap integriti. Belajarlah menghargai pemberian sesiapa termasuk dari kerajaan,” katanya lagi.
Baca juga: 10 info Program Perantisiswa Malaysia, akan diagih mulai Jun 2022
Kes penjualan semula peranti siswa tersebut disahkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa. Beliau berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang melakukannya.
Setakat ini, katanya terdapat 14 kes penjualan semula PerantiSiswa yang dikesan di seluruh negara, dan pemantauan terhadap perkara itu sedang dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Ada tindakan tertentu akan diambil terhadap penjual peranti, contohnya paparkan nama secara terbuka untuk pengetahuan umum di portal perantisiswa atau maklumkan kepada pihak universiti,” katanya.
Beliau berkata, tindakan menjual semula peranti itu adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan kerajaan memandang serius perkara itu. Peranti yang diedarkan, mempunyai beberapa aplikasi tertentu yang mampu mengesan keberadaan peranti itu sama ada di universiti atau lokasi lain.
“Peranti ini ada keupayaan untuk buat ‘tracking’ siapa pemilik yang telah jual dan ada beberapa peranti telah disekat penggunaannya. “Perbuatan ini diharap dapat dihentikan segera… saya zahir rasa terkilan dan dukacita, kerana penerima PerantiSiswa menjualnya secara terbuka secara dalam talian. Saya fikir ia tindakan tidak wajar,” katanya.
Baca juga: Ini senarai 10 tablet terbaik bawah RM1000 sesuai untuk kelas online
Beliau berkata tindakan menjual peranti itu sama seperti melanggar ‘akujanji’ untuk menggunakan peranti tersebut bagi kegunaan sendiri, seperti yang ditandatangani mereka ketika menerima peranti tersebut.
Annuar berkata K-KOM bersedia mengkaji pelaksanaan 'buy back policy' bagi penerima PerantiSiswa untuk menjual peranti mereka, sekiranya mereka tidak mahu menggunakan peranti itu lagi.
“Mereka yang tidak mahu guna, mungkin ada kaedah ‘buy back’ yang sesuai sesuai selepas setahun… saya akan minta kaji kaedah berbanding jual peranti itu dengan harga murah. Ia tindakan tidak baik,” katanya.
Sementara itu, Annuar berkata pihaknya komited untuk terus mengagihkan peranti di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia kepada pemohon yang diluluskan dengan segera, meski pun wujud kes penjualan semula peranti itu oleh segelintir pihak.
“Saya telah letakkan sasaran untuk agihkan PerantiSiswa yang diluluskan sebelum 31 November ini. Pengedaran tetap disegerakan dan akan terus berjalan kerana kes-kes penjualan peranti ini adalah kecil,” katanya.
Setakat 18 Oktober lepas, sebanyak 474,311 permohonan untuk PerantiSiswa Keluarga Malaysia diterima melibatkan 95,882 bagi fasa pertama dan 378,429 untuk fasa kedua.
Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia adalah inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), bertujuan membantu proses pembelajaran mahasiswa institut pengajian tinggi yang berada dalam kelompok B40.
Baca juga: Ibu tunggal 10A SPM bangkit sambung belajar, tak sangka dapat biasiswa
Sumber: BERNAMA, Khairul Azri, Cikgu Mohd Fadli Salleh
Oleh: Norhasliza Mohd Shafi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang