PERTEMBUNGAN antara dua pasukan dalam menentukan kedudukan juara Euro 2020 akhirnya terjawab apabila kemenangan berpihak kepada Itali sekali gus menewaskan England dalam perlawanan pagi tadi.

Aksi hebat kedua-dua pasukan yang terikat seri 1-1 akhirnya berkesudahan dengan tendangan panelti apabila Itali, 3, manakala England 2 di Stadium Wembley, London, United Kingdom.

Kemenangan Itali di bawah pimpinan jurulatih Roberto Mancini itu secara tidak langsung telah menamatkan kemarau 53 tahun selepas kali terakhir pasukan tersebut menjulang trofi juara Piala Eropah pada 1968.

Biarpun bertanding di tempat sendiri, England bagaimanapun tidak mampu menggunakan kelebihan itu apabila nasib tidak menyebelahi mereka untuk menjulang trofi kemenangan selepas kali terakhir memenangi Piala Dunia pada 1966.

Negara yang terkenal dengan hidangan pasta itu juga pernah memenangi Piala Dunia sebanyak empat kali iaitu pada tahun 1934, 1938, 1982 dan 2006.

Ingin tahu fakta menarik lain mengenai Itali, berikut SinarPlus kongsikan beberapa maklumat buat anda yang berminat untuk melancong ke Itali:

1. Piza pertama di Itali

Selain hidangan pasta, piza juga menjadi menu kegemaran pendudukan tempatan. Menurut perkongsian laman web theworldpursuit.com, difahamkan piza pertama kali diperkenalkan di sebuah bandar di Itali bernama Naples sekitar 200 tahun lalu. Pada tahun 1830, penduduk tempatan dipercayai hanya menggunakan tomato, keju mozzarella dan daun basil sebagai bahan untuk diletakkan di atas piza.

2. Variasi keju

Barisan nama seperti cheddar, mozzarella, parmesan, edam, gauda dan emmental merupakan antara keju yang popular dan mudah untuk didapati di pasaraya. Mungkin bagi sesebuah negara yang memiliki lebih puluhan atau ratusan jenis keju, anda sudah merasakan ia satu jumlah yang banyak, namun ternyata anda silap!

Itali memiliki lebih 2,500 jenis keju yang menawarkan pelbagai rasa yang berbeza. Justeru, bagi yang gemarkan produk tenusu ini boleh mengembara ke Itali untuk merasai pengalaman sebenar mencuba ribuan jenis keju.

3. Kelahiran rendah

Jepun dikategorikan sebagai antara negara yang memiliki kadar kelahiran yang rendah, Situasi sama turut berlaku di Itali. Menurut catatan, pada tahun 2016, Itali mencatat kelahiran sebanyak 1.35 kurang daripada 0.9 peratus daripada negara matahari terbit itu (1.44). Mungkin anda boleh ketahui sendiri mengenai mengapa perkara itu sekiranya berkunjung ke Itali.

4. Kawasan berbukit dan pergunungan

Iklan

Boleh dikatakan sekitar tiga perempat daripada negara Itali merupakan kawasan pergunungan dan berbukit. Bagi yang gemar melakukan aktiviti pendakian, anda pastinya ingin mencabar diri dengan menawan beberapa kawasan pergunungan di Itali seperti Alps, Dolomites dan Apennines yang menawarkan pemandangan yang mempersonakan sambil diliputi dengan salji.

5. Lenyapnya Venice

Beberapa tahun kebelakangan ini anda mungkin sering mendengar dakwaan mengatakan bandar Venice yang terletak dalam wilayah Veneto berdepan dengan risiko tenggelam. Mungkin berita tersebut sukar untuk dipercayai, namun menurut kajian paras Laut Mediterranean semakin meningkat sehingga menyaksikan bandar tersebut sering dilanda banjir ketika waktu musim sejuk.

Lebih mengejutkan, bandar itu dipercayai akan berada di dasar laut sekitar tahun 2100. Jadi kepada sesiapa yang masih belum merasai pengalaman menaiki gondola di Grand Canal, mungkin belum terlambat untuk mencubanya nanti sebelum bandar tersebut lenyap dari pandangan.

6. Pancuran Trevi jana pendapatan RM15,000 sehari

Iklan

Alangkah seronoknya jika memiliki pekerjaan yang mampu menjana pendapatan sekitar RM15,000 sehari. Jangan terkejut kerana jumlah tersebut merupakan wang syiling yang kutip setelah dibaling oleh pelancong ke dalam Pancuran Trevi.

Dianggarkan dalam setahun sebanyak RM7 juta telah ‘dibuang’ ke dalam pancuran yang berusia hampir 300 ratus tahun itu. Setiap wang yang terkumpul akan digunakan untuk tujuan kebajikan terutama bagi membantu penduduk setempat dalam mendapatkan bekalan makanan dan mereka yang berpendapatan rendah.

Jadi, bagaimana dengan fakta yang dikongsikan? Sekiranya memiliki pengalaman menarik ketika melawat ke Itali, boleh kongsikan cerita anda di bawah.